Monday, June 11, 2012

GAJI DAN PANGKAT PUNCA BUKAN MELAYU KURANG MINAT SERTAI SEKTOR AWAM - CUEPACS


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, gaji dan pangkat merupakan antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam.

Beliau berkata, bukan Melayu khususnya kaum Cina mahukan gaji yang tinggi dan terus menjawat jawatan bertaraf pegawai bila menyertai sektor awam. Malah, golongan bukan Melayu melihat sektor awam sebagai tempat yang agak terhad bagi mereka untuk kenaikan pangkat dan gaji.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai berkata, golongan Cina tidak berminat menyertai sektor awam kerana tidak memahami skop perkhidmatan dan mempunyai pandangan negatif terhadap sektor itu. Beliau berkata, kerajaan sering menggalakkan golongan bukan Melayu untuk menyertai sektor awam dengan pelbagai usaha seperti mengadakan ceramah kerjaya, pameran dan sebagainya tetapi masih tidak berkesan.

Justeru, beliau mencadangkan adakan usaha untuk membawa bukan Melayu melawat jabatan kerajaan di seluruh Malaysia terutamanya yang melibatkan pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya untuk mereka memahami skop perkhidmatan awam itu sendiri.

Manakala, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, sejarah merupakan antara faktor bukan Melayu tidak berminat menyertai sektor awam. Katanya, pada zaman penjajahan British lagi rakyat sudah dibahagikan pengkhususan pekerjaan mengikut kaum, iaitu Melayu memasuki sektor awam, Cina dengan kegiatan ekonomi dan India terlibat dengan pertanian serta perladangan.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment