Monday, June 11, 2012

KERAJAAN PERSEKUTUAN DIYAKINI MAMPU LAKSANA BR1M KEDUA

Kerajaan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pusingan kedua.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, ia berikutan pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Katanya, biarpun krisis ekonomi sedang melanda negara-negara Barat terutamanya di Eropah, namun Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan yang baik untuk suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Pada suku pertama tahun ini, negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.7 peratus. Ini merupakan perkembangan yang baik memandangkan kemelut ekonomi yang melanda dunia kini.

"Justeru, cadangan pemberian BR1M pusingan kedua adalah langkah tepat bagi meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa anjuran Wanita Barisan Nasional (BN) Petaling Jaya Utara, di sini hari ini.

Pada majlis di Gelanggang Bola Keranjang Jalan SS3 itu, Donald Lim turut berkesempatan beramah mesra dengan kira-kira 100 warga emas.

Donald Lim yang juga Pengerusi MCA Selangor berkata, Kementerian Kewangan sedang mengkaji dan meneliti cadangan berkenaan namun sebarang keputusan terletak pada Kabinet.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment