Friday, July 13, 2012

AKTA KEHARMONIAN HARUS BERI RUANG KEBEBASAN BERSUARA

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional dialu-alukan oleh banyak pihak dengan harapan akta baharu itu akan terus melindungi asas kebebasan rakyat di negara ini.

Mereka juga mengalu-alukan jaminan bahawa rundingan dengan pihak berkepentingan akan dilaksanakan dalam menggubal undang-undang baharu kerana ia adalah penting bagi memastikan demokrasi negara ini adalah benar-benar inklusif dan serta sama.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, keputusan itu adalah ke arah yang betul dan meminta peruntukan yang selaras dengan keperluan masa kini.

"Saya harap pengumuman tersebut akan membawa kepada ruang kebebasan bercakap dan bersuara yang lebih luas dan diperlukan," katanya dalam kenyataan di sini.

Karpal berkata, adalah penting bahawa akan ada maklum balas daripada orang awam sebelum Akta Keharmonian Nasional digubal oleh Parlimen.

"Orang awam mempunyai hak untuk menyertai dalam proses yang membawa kepada laluan akta ini yang tidak perlu termasuk pengulangan sebarang seksyen yang zalim tidak selaras dengan kebebasan bercakap dan bersuara," katanya.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee pula berkata, undang-undang baharu harus setakat mana yang boleh daripada menjenayahkan ucapan dan idea dan tidak terburu-buru untuk memperkenalkan kesalahan jenayah.

Beliau juga menegaskan bahawa perkara seperti kesetiaan, saling menghormati dan perpaduan negara tidak boleh digubal.

"Ini adalah idealisme yang dibangunkan secara beransur-ansur dan dipupuk secara semulajadi dan bukan dituntut oleh kuasa undang-undang secara serta-merta," katanya sambil menambah, Majlis Peguam akan terus memberikan pandangan yang berhati-hati dan maklum balas dalam pengisytiharan undang-undang baharu itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam berkata mereka menghargai dan menyokong usaha-usaha pembaharuan demokrasi dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan di negara ini.

Beliau berkata, suruhanjaya itu berharap untuk melibatkan diri dengan Pejabat Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain dalam penggubalan undang-undang baharu bagi menangani kebimbingan tertentu.

Suhakam berharap akta baharu itu akan digubal dalam cara yang telus bagi memastikan ia selaras dengan prinsip asas hak asasi manusia, katanya.
 
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, akta baru itu akan mengikut acuan Malaysia yang tersendiri tanpa terikut dengan akta seumpama dari negara lain.

Tsu Koon, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perpaduan dan pengurusan prestasi berkata, nama 'keharmonian' itu sendiri sudah nyata bahawa akta itu akan disesuaikan secara menyeluruh dengan latar belakang Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama.

"Ini merupakan satu lagi transformasi yang dijalankan kerajaan bagi menjaga rakyat Malaysia yang berbilang kaum," katanya. - Bernama

KD: Bagaimana agaknya Akta Keharmonian itu ye? Pasti ramai yang tertunggu-tunggu. Kedengaran namanya sahaja sudah gembira dan harmoni rasanya. Harap akta itu nanti menggembirakan dan memuaskan hati semua pihak.

No comments:

Post a Comment