Tuesday, July 3, 2012

PERAK MAN - KEMBALIKAN HAK LENGGONG


LENGGONG – Sudah tiba masanya ‘Perak Man’ dikembalikan ke tempat asalnya setelah Lembah Lenggong kini tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (Unesco).


'Kembalikan hak Lenggong'
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, rangka yang membuktikan penempatan manusia prasejarah sejak zaman paleolitik itu kini dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur.

“Diharapkan Kerajaan dapat bawa balik rangka Perak Man ini ke tempat asalnya supaya pelancong tempatan mahupun antarabangsa betul-betul menumpukan di kawasan ini sekali gus memberi impak besar terhadap pelancongan negara.

“Di sini (Muzium Arkeologi) hanya ada replika, tetapi di Kuala Lumpur ada rangka Perak Man yang akhirnya pelancong hanya bertumpu di kawasan itu sahaja,” katanya.

Menurutnya, batu meteor yang ditemui di Bukit Bunuh di sini juga harus dikembalikan sekali gus menjadi daya penarik kepada pelancong untuk berada di daerah itu.

“Universiti Sains Malaysia (USM) menyimpan batu berkenaan untuk kajian mereka. Saya merasakan batubatu yang telah dikaji perlu diletakkan kembali ke sini sebagai satu lagi tarikan baru di muzium ini.

“Kita juga ada rancangan untuk mewujudkan muzium batuan yang mempamerkan pelbagai batuan yang bernilai tinggi yang ditemui di kawasan Bukit Bunuh,” katanya.

Dengan pengiktirafan dari Unesco itu, Shamsul Anuar berkata, kerajaan perlu beri tumpuan dengan menaik taraf daerah ini dan buat perancangan rapi agar masyarakat setempat dapat manfaat daripadanya.

“Pelbagai kemudahan seperti pengangkutan, penginapan, makanan dan sebagainya perlu diketengahkan bagi mempromosikan daerah ini yang terkenal dengan kepelbagaian budaya serta produk makanan.

“Saya lihat perkara ini mesti beri keuntungan kepada masyarakat setempat untuk tingkatkan pendapatan dan ekonomi negeri dan yakin Lembah Lenggong akan menjadi terkenal,” katanya. - SinarHarian

No comments:

Post a Comment