Thursday, June 20, 2013

BATAL BOIKOT PARLIMEN,  SEMUA AHLI PARLIMEN PAKATAN ANGKAT SUMPAH 

Semua Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat (PR) akan mengangkat sumpah semasa sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti sebagai menghormati prinsip demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu menegaskan pendirian supaya perlantikan  Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) mestilah seseorang yang tidak berat sebelah dan bukan menjadi jurucakap kepada parti pemerintah sahaja.

"Kami percaya kepada semangat demokrasi berparlimen, oleh sebab itu kami tidak memboikot.. semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah pada 24 Jun nanti.

"Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa kami tidak mahu seorang Speaker yang hanya menurut perintah dan tidak mahu jurucakap Umno berada memegang jawatan tersebut," kata Anwar dalam satu sidang media ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Selain itu, Anwar memberitahu salah satu faktor PR tidak memboikot angkat sumpah adalah kerana mereka berhasrat untuk mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker ke-13.

"Kami mahu mencadangkan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker, kami mahukan individu yang dilantik adalah seseorang yang mempunyai integriti dan bebas sepenuhnya," tambahnya lagi.

Majlis Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu pada mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah Barisan Nasional (BN) kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya. – The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment