Thursday, June 20, 2013

GST SISTEM YANG LEBIH ADIL

Pengguna penentu perbelanjaan

Sistem Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) lebih adil kepada orang ramai berbanding struktur cukai yang diguna pakai pada masa ini, selain dapat mengurangkan ketirisan dalam kutipan cukai negara.

Wan Heng Choon 
Pengarah Eksekutif Kanan PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, Wan Heng Choon berkata, GST membenarkan orang ramai menentukan sendiri jumlah cukai yang ingin dibayar melalui corak perbelanjaan mereka.

“Anda sendiri pilih apa yang anda mahu bayar berdasarkan perbelanjaan harian, berbanding dengan cukai pendapatan di mana duit anda diambil sebelum anda membelanjakannya.

“GST ini boleh dikira memberikan semula kebebasan memilih (untuk membayar cukai) kepada pengguna,” katanya semasa bengkel penjelasan GST bagi media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

GST, apabila dilaksanakan, akan menggantikan sistem cukai yang diguna pakai kini, iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu pada kadar lima hingga 10 peratus.

Menurut Heng Choon, kerajaan dijangka menurunkan cukai pendapatan dan korporat selepas GST dilaksanakan namun kadar penurunan belum diketahui.

Makanan asas tidak patut naik harga

Heng Choon berkata, semua makanan asas telah ditetapkan tiada cukai, jadi GST tidak akan memberi kesan kepada barangan ini.

“Pilihan lain, sama ada anda ingin makan di restoran yang mengenakan cukai atau di restoran biasa, itu adalah pilihan sendiri. Anda boleh menentukan jenis perkhidmatan yang ingin digunakan,” katanya.

Menurutnya, hanya perniagaan dengan perolehan RM500,000 dan ke atas setahun yang perlu berdaftar untuk GST.

“Jadi, restoran biasa atau kedai runcit yang tidak mencapai tahap itu tidak dikenakan cukai ini,” katanya.

Kesan tidak ketara

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PwC, R S Raja Kumaran berkata, kesan GST kepada orang ramai dijangka tidak begitu ketara.

“Jika dilihat, perbelanjaan terbesar bagi seseorang adalah makanan asas, iaitu 60 peratus daripada pendapatan.

“Barangan ini tidak dikenakan cukai jadi kesannya kepada individu tidak ketara. Perkhidmatan kesihatan, perumahan, pengangkutan awam dan pendidikan juga dikecualikan daripada cukai," katanya.

Penghapusan subsidi

Menyentuh isu pengurangan atau penghapusan subsidi yang mungkin akan dilaksanakan tidak lama lagi selepas GST diperkenal, Raja Kumaran berkata, subsidi tidak lagi berfungsi sebagai sistem yang adil.

“Semua orang kaya dan miskin beli beras atau isi petrol pada harga sama. Lebih baik subsidi dihapuskan dan berikan rebat tunai kepada kumpulan sasaran sahaja,” katanya.

Bantu kurangkan ketirisan

Menurut Heng Choon, terdapat juga isu tidak adil dalam pembayaran cukai pendapatan apabila hanya 1.9 juta daripada 12 juta rakyat Malaysia yang bekerja perlu membayar cukai.

“Banyak negara bertukar daripada mengenakan cukai ke atas pendapatan kepada GST untuk menghapuskan diskriminasi ini.

“Jika rakyat mahu terus menerima perkhidmatan disediakan kerajaan, ia perlu dibiayai oleh satu sumber,” katanya.

Pemborong, peruncit

Selain itu, beliau berkata, GST juga boleh memastikan pemborong dan peruncit tidak hanya mengambil keuntungan atas angin apabila cukai perlu dibayar bagi setiap peringkat rantaian pembekalan produk.

“Negara seperti Vietnam dan Laos juga laksanakan GST. Jika Malaysia mahu terus progresif, GST adalah satu daripada penyelesaiannya," katanya.

GST atau cukai nilai tambah (VAT) telah digunakan di lebih 140 negara dan di Asean, hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum menggunakan sistem ini.

Salah faham, perlu jelas kepada rakyat

“Kepada yang berkata GST akan membebankan orang miskin, adakah mereka buat kajian terhadap corak perbelanjaan golongan ini?


Heng Choon menegaskan, sehingga kini, terdapat pelbagai salah faham mengenai GST dan isu ini perlu dilihat dari sudut lebih objektif. –Sinar Harian

No comments:

Post a Comment