Monday, July 15, 2013

GAMBAR PERSENDA RAMADAN: JAIS AMBIL TINDAKAN PIHAK HINA ISLAM

Siasat pasangan blogger melampau
Foto di Facebook pasangan ini mencetuskan kontoversi
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkemungkinan akan mengambil tindakan terhadap pasangan yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar kontroversi sehingga menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, di laman Facebook mereka.

Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pasangan kontroversi, Tan Jye Yee (Alvin), 25 dan Vivian Lee, 24, kerana memuat naik gambar sedang menikmati hidangan tidak halal dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh...wangi enak dan menyelerakan' berserta logo halal.

Tegasnya, tindakan pasangan terbabit boleh disabit salah sama seperti penganjur program di Damansara Utama Methodist Church yang dipercayai cuba mengkristiankan umat Islam pada bulan puasa tidak lama dahulu.

"Jais berpendirian tidak sepatutnya perkara itu dibiarkan berlaku.

"Sebagai rakyat Malaysia berbilang kaum, sepatutnya mereka menghormati keharmonian antara kaum dan agama yang dipupuk sejak 50 tahun lalu.

"Seperti isu-isu lain, kalau terbukti mereka menghina dan persendakan Islam, kita akan ambil tindakan seperti kes gereja tidak lama dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas perbuatan tidak bertanggungjawab dua remaja terbabit yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh tersebut, Jumaat lalu.

Pasangan itu memaparkan gambar di laman Facebook kononnya mereka sedang menikmati makanan yang tidak halal.

Dalam pada itu, Marzuki menegaskan sepatutnya bulan puasa dimanfaatkan untuk memperbaiki iman dan ketaqwaan kepada ALLAH, bukannya menimbulkan kebencian sesama insan. –Sinar Harian

No comments:

Post a Comment