Monday, July 15, 2013

PM JAMIN PERTAHAN KESUCIAN ISLAM

KUALA SELANGOR - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan terus meninggikan syiar Islam, menjaga akidah dan mempertahan kesucian Islam termasuk memperjuang penggunaan kalimah Allah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menyediakan lebih banyak peluang pendidikan termasuk pendidikan Islam dan tempat ibadat di seluruh negara supaya kemudahan itu dapat dinikmati dengan lebih selesa.

Menurut beliau, pembangunan berasaskan maqasid syariah itu akan terus diperjuang supaya apa yang dilakukan kerajaan menepati kehendak Islam.

Dalam masa sama, Najib menyeru seluruh umat Islam di negara ini mencari titik pertemuan dengan bernaung atas prinsip perpaduan meskipun berbeza fahaman politik.

"Langkah itu perlu bagi memastikan agama Islam dan umatnya tidak tergugat serta mengelak berlaku konflik sekali gus membolehkan mereka lebih maju pada masa depan," katanya.

Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, salah satu sebab Malaysia berada dalam keadaan aman dan tidak bergolak kerana negara ini mengamalkan dasar wasatiyyah atau kesederhanaan.

"Kita ambil jalan kesederhanaan, jalan sebaik-baik mengikut Islam, ertinya kita menolak fahaman fanatik dan tolak orang yang hendak melakukan kerosakan.

"Kita kutuk siapa yang buat huru-hara. Kalau bersikap sederhana dan tolak dasar tidak adil serta ekstrem, Allah SWT akan berkati perjuangan dan kepimpinan kita. Ini cuba kita lakukan hasil manfaat mandat rakyat," katanya. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment