Wednesday, June 13, 2012

APA ITU DAKWAT KEKAL?
DAKWAT KEKAL PRU-13 DIKEKALKAN
Mstar Online melaporkan, penggunaan dakwat kekal akan digunapakai pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang walaupun kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penggunaan dakwat kekal adalah terpakai bagi semua kategori pengundi kecuali proses pengundian pos. 
"Dakwat kekal akan digunakan kepada pengundi yang akan mengundi padahari diadakan pengundian awal dan hari pengundian biasa kecuali pengundi yang akan mengundi secara pos berdasarkan kepada peruntukan Peraturan 3, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 203,"katanya menerusi jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.
Isu dakwat kekal terus bermain dalam arena politik negara, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) makin menjelang tiba. Walaupun tarikh pilihan raya masih belum termaktub, tetapi banyak pihak sudah bercakap mengenainya. 


Bila pun masa dan harinya, pasti ramai terutama rakyat masih tidak jelas tentang penggunaan DAKWAT KEKAL yang diwar-warkan kerajaan. Mari kita kongsi info mengenai DAKWAT KEKAL ini.


Apa itu dakwat kekal?


Dakwat kekal atau dakwat pilihan raya merujuk kepada dakwat atau pencelup separa-kekal yang ditanda pada (lazimnya) jari telunjuk pengundi semasa pilihan raya dengan tujuan mengelakkan penipuan pilihan raya seperti pengundian berganda. Ia digunakan secara meluas di negara dunia ketiga di mana dokumen pengenalan warganegara tidak terpiawai atau berinstitusi; yang lalu menjadikan pengesahan identiti pengundi tidak diperlukan.

Bagaimana ia digunakan?

Dakwat kekal (indelible ink) bererti "tidak dapat dihilangkan". Tanda dakwat kekal biasanya kalis air dan tahan selama beberapa hari, atau hampir seminggu. Tanda ini akan hilang apabila sel kulit lama mati dan digantikan dengan sel kulit baru, oleh itu sebarang tanda pada kutikel dijamin hilang dalam tempoh 2-3 minggu. Namun begitu, sesetengah dakwat kekal memiliki jangka hayat simpanan yang pendek kerana pelarut yang digunakan cepat terpeluwap.

Penggunaan dakwat kekal dianggap tidak sempurna kerana ia boleh digunakan dalam penipuan pilihan raya dengan menanda penyokong parti lawan sebelum mereka berpeluang membuang undi. Selain itu, terdapat juga laporan mengenai "dakwat kekal" boleh dicuci dengan peluntur daripada tangan pengundi.


Dakwat kekal dari sudut hukum agama Islam

Di Malaysia, dakwat kekal juga dikatakan mampu menghalang penyempurnaan wuduk bagi orang Islam yang memerlukan air wuduk rata ke seluruh bahagian tubuh yang dibasuh. Bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan selepas menguji dakwat terbabit memutuskan bahawa dakwat itu tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan. Hukum dakwat kekal berasaskan argentum nitrat adalah harus dan dibenarkan.

Penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya di negara lain

India, Filipina, Indonesia dan negara membangun yang lain telah menggunakan dakwat kekal dalam bentuk penanda pilihan raya bagi menghalang penipuan pilihan raya. Jawatankuasa pilihan raya di India misalnya telah menggunakan dakwat kekal dalam banyak pilihan raya, menanda jari dan kuku pengundi. Indonesia turut menggunakannya semasa pilihan raya di Aceh. Di Mali, diletakkan pada kuku jari tangan.


Penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya di Malaysia

Malaysia pada mulanya bercadang menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum Malaysia 2008, bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia membatalkan penggunaannya seminggu sebelum tarikh pengundian, menyatakan ia akan melanggar perlembagaan (ultra vires) jika menghalang orang mengundi walaupun jarinya telah bertanda. Selain itu dikatakan juga bahawa terdapat laporan dakwat diseludup masuk dari negara jiran Thailand untuk menanda jari orang sebelum mereka mengundi, jadi menghalang mereka menunaikan hak mengundi. Dakwat dengan kos RM 2.4 juta itu telah dilupuskan pada 25 November 2009, menimbulkan tuduhan kerajaan membazirkan wang rakyat kerana tidak menjualnya semula.


Jadi, kepada pengundi-pengundi semua, bersiap-sedialah jari anda dicelup dengan dakwat pada hari mengundi nanti..


No comments:

Post a Comment