Wednesday, August 1, 2012

ISU AIR SELANGOR: RAKYAT JADI MANGSA POLITIK



BALAKONG – Rakyat Selangor bakal menerima bahana akibat sikap degil Kerajaan Negeri yang enggan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 apabila bekalan air di flat Taman Putera Budiman di sini terpaksa dicatu sejak seminggu lalu.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, krisis air bukan kerana kekurangan sumber bekalan air mentah tetapi berpunca daripada sikap Kerajaan Negeri yang masih enggan melaksanakan projek Loji Rawatan Langat 2 untuk memproses air terawat.

Katanya, beliau juga kesal Kerajaan Negeri terus menjadikan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai kambing hitam menyebabkan rakyat yang menanggung rugi, sedangkan hakikat sebenar kegagalan itu berpunca daripada Kerajaan Negeri sendiri.

"Rakyat perlu faham Syabas hanya berfungsi sebagai operator agihan yang membeli air dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna. Syabas mengalami kekurangan air untuk dibekalkan kepada rakyat tetapi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exconya masih berdolak-dalik memberikan pelbagai alasan yang mengelirukan.

“Apa yang berlaku di flat ini adalah kerana keegoan dan keangkuhan Abdul Khalid kononnya bekalan air masih mencukupi sedangkan penduduk di sini sudah hampir seminggu terseksa kerana bekalan air terpaksa dicatu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Sohaimi berkata, jika kerajaan Selangor pandai menguruskan air, sudah tentu keadaan ini tidak akan berlaku.

"Bagaimana Kerajaan Negeri mengatakan krisis air tidak berlaku sedangkan ada rakyat menderita kerana tidak mendapat bekalan air? Malangnya, Kerajaan Selangor tidak mahu mengaku kelemahan diri sendiri lantas menuding jari menyalahkan orang lain pula," katanya.

Beliau menegaskan, masalah itu tidak akan menjadi isu sekiranya Kerajaan Negeri mengetepikan soal politik dan mengutamakan rakyat dalam tindakan.

“Ini bila Syabas hantar air... mereka pun hantar air... tetapi lori digunakan kita tidak tahu datang dari mana. Kebersihannya dan kandungan dibawa juga diragui,” katanya.

Beliau berkata, GPRS bersama ketua kampung, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan membuat lawatan ke loji pemprosesan air di Hulu Langat hari ini supaya wakil-wakil penduduk ini dapat melihat sendiri bagaimana pemprosesan air dengan lebih jelas dan mendapatkan maklumat sebenar berhubung isu tersebut.

“Kasihan kerana rakyat mengharungi keadaan tidak selesa, mengangkut air yang disediakan Syabas sehingga ke tingkat lima bagi yang tinggal di pangsapuri dalam keadaan berpuasa. Lebih menyusahkan, sekiranya pangsapuri diduduki tiada kemudahan lif,” katanya.

Beliau berkata, jika masalah tidak diselesaikan dengan baik, tidak mustahil banyak lagi kawasan-kawasan baru yang akan terbabit.

"Dalam keadaan rakyat menderita tidak ada air ini pun Kerajaan Negeri masih hendak berpolitik," katanya.

No comments:

Post a Comment