Wednesday, August 1, 2012

PELANTIKAN LAJIM BATAL SERTA-MERTA

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pelantikan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dibatalkan serta merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu.

Ia adalah mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Beliau bagaimanapun berkata masih kekal sebagai anggota UMNO.

Lajim yang mengumumkan peletakan jawatannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu, dilaporkan menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Lajim, 57, dipilih ke Parlimen pada pilihan raya umum 2008 menggantikan penyandang kerusi Beaufort, Azizah Mohd Dun selepas menewaskan Lajim Md. Yusof (PKR), dengan majoriti 10,914 undi.

Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan pada tahun 2008 sebelum ditukarkan portfolio kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment