Monday, July 30, 2012

KONTROVERSI PENGANTIN REMAJA

Kontroversi pengantin remajaPerkahwinan pasangan remaja yang dikenali sebagai Syafiq, 16, dan Yana, 14, yang tersebar di laman blog serta video majlis perkahwinan di YouTube mengundangkontroversi serta terus mendapat pelbagai reaksi masyarakat di negara ini.

Akhbar Sinar Harian yang melaporkan berita itu, sempat berkunjung ke rumah keluarga pengantin lelaki di Bandar Dara Chini, namun keluarganya bertegas tidak mahu ditemu bual ekoran tidak selesa dengan publisiti yang diperoleh secara mendadak.

Menurut sumber keluarga terdekat, video tersebut dimuat turun ke laman maya bertujuan untuk berkongsi saat bahagia pasangan terbabit dengan ahli keluarga yang tinggal berjauhan dan tidak sempat hadir pada hari perkahwinan tersebut.

Difahamkan bahawa pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada Februari lalu, namun kenduri bagi meraikan pasangan pengantin ini diadakan pada 8 Julai lalu.
Ibu pengantin lelaki yang ditemui turut mengakui bahawa dia sekeluarga memilih untuk berdiam diri walaupun ada reaksi negatif yang diterima daripada masyarakat mengenai perkahwinan anaknya.

Menurutnya, anak lelakinya akan meneruskan persekolahan pada tahun hadapan dan berharap agar orang ramai memahami situasi mereka yang merestui hubungan dan perkahwinan berkenaan.

Sementara itu, Kadi Daerah Pekan, Ahmad Nizam Abdul Manan yang dihubungi berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan perkahwinan pasangan berkenaan.

Menurutnya, sebarang perkahwinan yang melibatkan pasangan atau salah seorang daripada pengantin di bawah umur seharusnya mendapatkan perintah kebenaran daripada pihak mahkamah sebelum ia dijalankan.
Kontroversi pengantin remaja
Gambar perkahwinan pasangan remaja terbabit. Video perkahwinan yang dimuat turun di laman YouTube dan dilayari ribuan penonton.
Sumber: Sinar Harian 28/0/2012

KD: Bukanlah ingin ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi secara peribadi, KD kurang bersetuju dengan tindakan pasangan ini mahupun keluarga mereka. Ini kerana usia mereka terlalu muda untuk berumah tangga.

Mungkin ada pihak mendakwa, ‘orang dahulu pun kahwin awal dan bahagia’. Itu benar dan tidak salah dari segi agama. Namun, perlu difikirkan zaman sekarang dengan dahulu - dua senario dan persekitaran sosial yang berbeza. Pelbagai dugaan dan pancaroba yang menunggu golongan remaja. Terlalu banyak yang perlu disumbangkan oleh golongan remaja untuk menjadi manusia. Jelas, anak muda kini lebih bebas bercakap, bertindak mengikut ‘darah panas’ mereka. 

Jadi, keputusan kahwin awal ini perlu mendapat nasihat dari kaunseling mahupun pejabat syariah. Dikhuatiri selepas ini ramai lagi remaja bawah umum mengikut langkah sama.

Walau bagaimanapun, mereka sudah pun memeteraikan satu ikatan yang sah. Maka, tidak wajarlah masyarakat menyalahkan mereka 100 peratus. Pihak yang berkenaan seperti keluarga dan masyrakat perlu memberi bimbingan kepada mereka sekaligus mendoakan kebahagiaan serta kerukunan rumah tangga mereka.

No comments:

Post a Comment