Tuesday, July 31, 2012

31 JULAI - SELAMAT HARI PAHLAWAN..
Sambutan Hari Pahlawan diraikan pada 31 Julai 2012 bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara khususnya di kalangan masyarakat Malaysia supaya memperingati perjuangan dan pengorbanan para pahlawan negara dengan bertemakan "Pahlawan Perkasa Rakyat Sejahtera".

Apa itu Pahlawan?

Kamus Dewan menterjemahkan ‘pahlawan’ adalah orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah, perwira yang ditakuti. Manakala Hari Pahlawan didefinasikan sebagai hari memperingati pahlawan yang terkorban.

Jika mengambil kira ungkapan ‘orang yang gagah dan berani dan telah terkorban’ kerana mempertahankan kedaulatan negara dari dijajah oleh anasir luar atau cubaan dari anasir dalaman yang berhaluan kiri dan kumpulan-kumpulan yang ingin mengkucarkacirkan kestabilan negara. Walaupun ianya bergerak tidak dalam kumpulan anggota berunifom atau seumpamanya, maka selayaknya mereka juga digelar pahlawan.

Pahlawan-pahlawan negara seharusnya dikenang oleh sejarah Malaysia yang telah terlebih dahulu mencipta ketamadunan negara Malaysia dan sekali gus adalah bangsa tuan kepada bumi ini yang berhak mendapat hak-hak keistimewaan. Kemasukan bangsa-bangsa asing, bermastautin dan diterima sebagai warganegara Malaysia selepas itu dan secara tidak langsung ikut sama terlibat di dalam perjuangan pembebasan dan kematian mereka juga telah diiktiraf dan tidak dinafikan jasa mereka kepada negara.

Ini bermakna, negarawan, ahli-ahli politik malah juga orang-orang persaorangan atau pun kumpulan yang bermandi darah dan keringat, berjuang dengan cara masing-masing dengan hasrat yang sama iaitu untuk membebaskan bumi Malaysia dari cengkaman penjajah dan pertualang-pertualang yang mengkhianati bangsa dan negara sendiri demi kelangsungan ideologi dan perjuangan mereka untuk menjadikan negara ini bukan sebuah negara demokratik adalah merupakan dari kelompok pahlawan.

Oleh kerana mereka berjuang bukan atas nama mana-mana organisasi berunifom, adalah menjadi sukar untuk mengesan jejak-jejak mereka untuk sama-sama didokumentasikan sebagai pejuang sebaris dengan pahlawan-pahlawan yang tersenarai dalam rekod sejarah negara.

Jasa & pengorbanan

Walau apa pun tafsiran, jasa dan pengorbanan mereka yang tiada tolok banding nilainya di sisi sejarah telah menjadi titik tolak kepada kecemerlangan pembangunan negara hari ini. Mereka datang bukan hanya dari satu bangsa majoriti malah mewakili bangsa-bangsa minoriti yang lain.

Sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan negara yang berjuang samada di era sebelum merdeka maupun pasca merdeka dikenang sampai hari ini. Tugu peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira dan perajurit yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi kestabilan dan keamanan tanahair.

Mengambil semangat dari pengiktirafan konvensyen ini dengan tamatnya peperangan dunia kedua yang dikenang di seluruh dunia maka tarikh ini telah ditetapkan oleh kerajaan pimpinan Yang Teramat Mulia Al-Marhum Tunku Abdul Rahman iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama untuk memperingati jasa perajurit dan polis yang terlibat secara langsung di dalam kemelut perebutan dengan beberapa pihak yang berkepentingan yang berlarutan sehingga bertahun-tahun selepas Malaysia merdeka.

Kempen

Kempen Hari Pahlawan hari ini telah menjadi tradisi dan sinonim sebagai acara penting samada di peringkat nasional maupun negeri-negeri, sebagai mengenang jasa pahlawan. Mengambil iktibar dari suasana semasa di dalam negara yang berkaitan dengan sejarah pertahanan dan kemerdekaan, adalah sangat bererti jika mulai tahun ini dan tahun-tahun mendatang, sambutan Hari Pahlawan diisi dengan menampilkan pahlawan-pahlawan yang masih hidup ini ke tengah masyarakat dengan program-program patriotik yang lebih menyeluruh.
Baru-baru ini, majlis Pelancaran Kempen Rayuan Hari Pahlawan (RHP) 2012 telah dirasmikan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Kempen RHP2012 ini selama tiga bulan, bermula 15 Julai sehingga 15 Oktober 2012.

Dalam pelancaran tersebut secara rasminya, dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk turut serta dalam menghargai pahlawan-pahlawan negara yang telah menyumbangkan bakti kepada negara dengan menghulurkan sumbangan kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan.  Setiap penderma akan diberikan sekuntum Bunga Raya sebagai simbol Rayuan Hari Pahlawan ini dan ianya dipakai sepanjang tempoh kutipan dilaksanakan.

Melalui kempen ini, dana dapat dikumpul untuk Tabung Kebajikan  bekas-bekas tentera dan keluarga mereka yang memerlukan, terutamanya keluarga prajurit yang terkorban demi mempertahankan negara.

Akhir kata, terima kasih Pahlawan Negara. "Pahlawan Perkasa Rakyat Sejahtera".

No comments:

Post a Comment