Tuesday, July 31, 2012

MENJELANG PRU13: KENYATAAN PEMIMPIN PAS

Pas yakin kekal majoriti 2/3 di Kelantan

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik AbdullahDi sebalik teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Pas Kelantan melahirkan keyakinan mampu pertahankan negeri ini dengan memperoleh majoriti dua pertiga.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk kesejahteraan rakyat selain tiada isu besar yang mampu menggugat pemerintahan Pas negeri.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang disasarkan dengan menyifatkan ia sebagai rahsia parti.

“Setakat ini Insya-Allah berdasarkan kajian dan usaha-usaha yang kita buat, kita yakin boleh mempertahankan Kelantan. Paling kurang kita boleh menang dua pertiga kerusi ada dalam tangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Kedutaan Thailand di sini, kelmarin.

Mohd Amar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang mengakui menghadapi saingan hebat daripada Pas untuk merampas negeri ini pada PRU13.

Dalam kenyataan itu, Mustapa berkata pihaknya menyedari situasi tersebut memandangkan pengaruh Pas begitu kuat kerana telah memerintah Kelantan selama 22 tahun.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah itu berkata, kenyataan Mustapa tersebut menunjukkan Umno Kelantan realistik kerana menyedari berhadapan masalah besar untuk merampas negeri ini daripada Pas.

“Saya berterima kasih kepada ‘Tok Pa’ (Mustapa) yang bercakap secara objektif dan realistik mengaku ada masalah-masalah yang dihadapi sebab selama ini dia (Mustapa) seolah-olah boleh ambil Kelantan dengan mudah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Amar berkata, kini perkara asas yang menjadi keutamaan Pas Kelantan adalah bekerja kuat secara berterusan bagi mempertahankan kerusi sedia ada supaya tidak terlepas kepada pihak lain.

“Usaha kita untuk mempertahankan apa yang ada, sekurang-kurangnya mempertahankan kerusi yang kita menangi sebab kita tidak hendak terlepas, itu asas sekarang. Kalau dapat lebih kerusi pun tidak apa, lagi baik,” katanya.

Pada PRU12 yang lalu, Pas Kelantan berjaya menawan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dari 45 kerusi Dun, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi enam kerusi Dun dengan satu kerusi tambahan, Dun Galas.

Bagi kerusi Parlimen pula, Pas berjaya merampas sembilan kerusi dari 14 kerusi Parlimen, manakala BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen.

Pas ramal PR tawan 14 kerusi Parlimen di Sabah

Seorang pemimpin Pas Pusat meramalkan Pakatan Rakyat (PR) akan mendapat sekurang-kurangnya 14 kerusi di Sabah ekoran tindakan dua ahli Parlimen BN menyokong perikatan berusia empat tahun itu.

Ini bermakna, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad berkata, simpanan tetap BN di Sabah dan Sarawak sudah tamat.

Beliau berkata, 55 kerusi Parlimen dari 57 dari Sabah-Sarawak telah dibolosi dan sudah tidak ada lagi jaminan BN mendapat sokongan dari kedua-dua negeri ini.

"Hari ini ramalannya ialah 14 kerusi dari Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan akan mudah-mudah tumbang kepada Pakatan Pembangkang," kata beliau dipetik Harakahdaily.

Ahli Parlimen Kuala Selangor ini mengulas tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

"Kejutan buat Najib bukan kepalang, amat menyiksakannnya. Mimpi ngerinya semakin menjadi realiti, tambahan masa bukan disebelahnya untuk membuat apa jua percaturan strategik kecuali memandang ke hujung tahun atau dilajakkan ke tahun depan," ulas beliau ekoran kenyataan kedua-dua anggota Parlimen BN dari Sabah itu.

Bagi beliau, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sejak akhir-akhir ini hanya menjaga kepentingan dirinya sahaja tanpa memikirkan BN secara menyeluruh.

"Apakah maknanya bagi Najib yang mengikut kajian mutakhir Merdeka Center bahawa ‘tahap keyakinan’ atau ‘Approval Rating’ pada paras 64%, (Jun) menurun 1% dari bulan Mei (65%), sementara tahap keyakinan kepada parti dan BN yang dipimpin terus mengalami penghaksian sokongan ke paras 42%," kata ahli jawatankuasa kerja Pas pusat.

Bagi beliau, Najib hanya mahu pujian dan pengiktirafan rakyat maka dia terus memberi – BRIM 1 dan kini bonus dan sebagainya.

"Kesemua untuk membuktikan bahawa beliau peka dan prihatin kepada rakyat sementara kesan pemberian itu tidak lagi seperti dulu, begitu hebat dan mendalam, termasuk kepada peneroka Felda mutahkir ini," tulis beliau.

Pada pendapat beliau, rakyat umumnya semakin membenci tindakan pemimpin yang cuba untuk memujuk dan menggula-gulakan rakyat seperti.

Tidak kira dari BN atau Pakatan penolakan rakyat terhadap kepimpinan ‘populist’ seperti ini semakin ketara, dakwa beliau.

"Kecuali golongan yang boleh terus ditipu dan dibeli dengan pelbagai ‘pemberian’ ini, rakyat umumnya sedang menyaksikan gelagat kepimpinan Umno-BN yang semacam cacing kepanasan mutakhir ini," katanya lagi.

Bagi beliau, masa untuk berubah telah sampai.

"Mampukah rakyat lakukan perubahan ini? dan Mampukah Pakatan mengisi pengharapan rakyat nanti?" soal beliau.

Sumber: Sinar Harian 31/07/2012

No comments:

Post a Comment