Tuesday, July 31, 2012

ISU HUDUD: PAS VS DAP

PAS: Rakyat berhak tentukan hudud, bukan Karpal

KOTA BHARU - Biarkan pelaksana hukuman hudud ditentang keras Pengerusi DAP Karpal Singh, Pas Kelantan menegaskan hanya rakyat berkuasa menentukan dasar kerajaan termasuk pelaksanaan undang-undang Islam.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, situasi itu berlaku melalui sistem demokrasi khususnya pilihan raya.

“Dalam soal ini, rakyat memainkan peranan utama, contohnya, Pas tidak bersetuju perjuangan menegakkan negara sekular, tetapi kita hendak halang macam mana sebab rakyat yang menentukan perkara itu,” katanya kepada pemberita.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengatakan DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini biarpun mengakui Islam agama rasmi negara mengikut perlembagaan.

Dalam kenyataan itu, Karpal berkata, kenyataan itu adalah pendirian DAP bukan pandangan peribadinya.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah itu menegaskan Pas akan tetap berjuang secara berterusan menegakkan syariat Islam biarpun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan dasar perjuangan parti itu.

“Bagi memperjuangkan agenda Islam seperti yang Pas bawa ini pun rakyat yang boleh menentukan kejayaan ia. Tetapi kita tidak akan berhenti memperjuangkan Islam, semata-mata sebab ada orang yang tidak bersetuju. Di sini usaha kita ialah berterusan memberi penjelasan kepada rakyat dan biar rakyat membuat keputusan,” katanya.

Mohd Amar yang dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa teknikal hudud Kelantan menyifatkan penentangan daripada Karpal itu bukan suatu perkara yang luar biasa memandangkan Umno sendiri tidak menyukai pelaksanaan hukum itu di negara ini.

Malah beliau berkata, MCA turut menolak undang-undang Islam itu dengan menyuarakan hasrat akan keluar daripada Barisan Nasional (BN), sekiranya Umno menyokong hudud.

“Dari segi politik bukan satu benda yang pelik sebab MCA sendiri pun menentang undang-undang hudud dan bila Adun Kemelah mencadangkan supaya Johor melaksanakan undang-undang hudud, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menggunakan istilah keras, jadi saya rasa lebih teruk lagi dari DAP,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Amar berkata, Pas menghormati pendirian DAP tersebut dan tidak menjangkakan DAP boleh menerima secara terbuka memandangkan berkemungkinan tidak memahami sepenuhnya tentang hukum tersebut.

Karpal: Hudud bukan inti manifesto Pakatan

Karpal SinghKUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Karpal Singh berkata hari ini sebarang cubaan Pas sekarang untuk memperkenalkan hudud di negara ini mencerminkan dengan buruk niat ikhlas di sebalik apa yang diputuskan di Muktamar Pas tahun lepas.

Beliau berkata, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan bahawa tidak ada disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara kebajikan.

"Ini mencerminkan tanpa sedikit keraguanpun bahawa Pas telah melupakan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Pas, dengan jelas memilih sebuah negara kebajikan," kata Karpal dalam satu kenyataann di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi mengenai pendirian konsisten Karpal menolak hudud.

Karpal berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 8 Jun tahun lepas melaporkan dalam New Straits Times bahawa keputusan Pas mengubah fokus kepada sebuah negara kebajikan dan mengetepikan istilah negara Islam adalah langkah yang betul.

Karpal berkata, hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga.

"Begitu juga, ia tidak akan termasuk dalam manifesto bersama Pakatan Rakyat, tidak mungkin," katanya. 

Beliau berkata: "Tidak ada siapa, tidak ada parti, tidak juga organisasi yang boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap Tuhan.

"Saya perlu tegaskan dengan segala kekuatan yang ada pada saya, bahawa saya percaya terhadap Tuhan," ujar Karpal. – Bernama

Guan Eng: DAP tetap tolak hudud

Lim Guan EngSHAH ALAM – DAP mengulangi pendirian bahawa parti tersebut tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini dan perlaksanaan undang-undang hudud seperti yang disarankan Pas dan Umno.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, pendirian DAP selama ini adalah konsisten dan tidak pernah berubah, namun menegaskan DAP dan Pas bersama-sama berkongsi pendirian untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan  kuasa.

“DAP dan Pas boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecah belahkan kita.

“Jelas, ‘dasar bersama’ tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa depan,” katanya sebentar tadi.

Kata Guan Eng lagi, atas sebab ini, DAP dan Pas telah menandatangani dasar bersama yang menyatakan kerangka kerjasama dan dasar membina negara-bangsa kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat (PR) masa depan.

No comments:

Post a Comment