Tuesday, July 31, 2012

ISU ROYALTI KELANTAN: REAKSI

Pemuda Umno dakwa Pas berlakon bela rakyat isu royalti

Bendahari Pemuda Umno Kelantan, Datuk Bazlan Baharudin Kota Bharu - Pemuda Umno Kelantan menyifatkan isu tuntutan royalti minyak sengaja dimainkan Pas negeri ini bagi menunjukkan seolah- olah parti itu membela nasib rakyat.

Bendahari Pemuda Umno Kelantan, Datuk Bazlan Baharudin berkata, rakyat negeri ini sebenarnya sudah memahami hasrat Kerajaan Pusat yang tidak mahu wang royalti tersebut nanti diagih secara tidak adil.

Beliau berkata, hanya pemimpin Pas suka membuat ‘bising’ untuk menggambarkan parti itu berjuang demi nasib rakyat.

“Kerajaan Pusat tidak mahu wang royalti ini nanti diagih secara tidak sama rata sekiranya menerusi Kerajaan Negeri. Saya percaya rakyat Kelantan sudah faham hasrat kerajaan.

“Di sini pemimpin-pemimpin Pas yang ‘bising’ ingin menampakkan macam hendak bela nasib rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Bazlan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengulangi pendiriannya supaya Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan Kelantan sebelum Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dalam kenyataan itu Razaleigh turut tidak menafikan hak rakyat Kelantan mendapat royalti tersebut berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Sehubungan itu, Bazlan yang juga Ketua Pemuda Umno Gua Musang turut bersetuju dengan Tengku Razaleigh bahawa royalti petroleum merupakan hak rakyat negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Pusat berhak untuk mengubah cara pembayaran royalti menerusi wang ehsan seperti yang dilakukan di Terengganu.

“Contohnya dulu di Terengganu dinamakan wang ehsan dan tidak ada sebarang masalah bahkan BN dapat merampas balik Terengganu daripada Pas.

“Kelantan juga akan buat perkara yang sama dan akan mengagihkan secara berhemah dan adil, tidak kira parti mana-mana sekalipun,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment