Tuesday, July 31, 2012

ISU LAJIM & BUMBURING KELUAR PARTI : REAKSI PEMIMPIN UMNO/BN

BN ada pemimpin boleh ganti Lajim, Bumburing

Ahmad MaslanPUTRAJAYA - Peletakan jawatan Datuk Seri Lajim Ukin dan tindakan keluar parti Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Bumburing, lebih kepada masalah peribadi, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata sepatutnya kepentingan dan perjuangan parti perlu menjadi keutamaan yang melebihi kepentingan peribadi.

"Ia hanyalah masalah terpencil kerana jika mereka tidak ada, ramai lagi yang boleh menggantikan mereka, sokongan rakyat tetap bertambah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Maslan berkata orang yang tidak setia dengan parti sememangnya tidak diperlukan kerana sekiranya masih berada di dalam parti ia akan dianggap 'umpama gunting dalam lipatan'.

Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Bagaimanapun beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan anggota Umno.

Sementara Bumburing mengumumkan keluar parti UPKO, yang merupakan satu daripada parti komponen BN Sabah dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah atau Sabah Reform Front. - Bernama

Zahid harap Umno dan BN Sabah tidak pandang ringan

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi KUALA LUMPUR - Tindakan Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Lajim Ukin yang keluar dan melepaskan semua jawatan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada keutuhan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya, pemimpin serta anggota BN di Sabah perlu menjadikan perkara itu sebagai cabaran dalam mempererat dan memperkukuh perpaduan sesama anggota parti.

"Apa yang berlaku pada mereka sudah dijangkakan, di mana pada pandangan saya, ia boleh diselesaikan.

"Saya harap kepimpinan Umno dan kepimpinan BN Sabah tidak memandang ringan apa yang berlaku, sebaliknya menjadikan ia sebagai hikmah untuk mengukuhkan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran keluar parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) manakala Lajim yang melepaskan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort.

Mengenai tindakan Lajim yang melepaskan semua jawatan namun tidak sebagai anggota Umno, Ahmad Zahid berkata ia merupakan urusan dan hak peribadi, namun keenganannya melepaskan jawatan Timbalan Menteri Perumahan  dan Kerajaan Tempatan dan anggota Umno dilihat sebagai tindakan tidak matang dari seorang ahli politik berpengalaman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak menolak kemungkinan perkembangan terbaru itu adalah satu permainan yang dicetuskan pembangkang bagi memecah keharmonian sesama anggota BN. - Bernama



Umno beri Lajim surat tunjuk sebab pecat

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berhubung keputusan dan tindakannya bertentangan dengan kepentingan parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Katanya, wakil rakyat itu perlu menjawab surat tersebut yang menggariskan "mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada Umno."

"Ini ekoran peletakan semua jawatan dalam Umno dan BN selain hubungan akrab Datuk Seri Lajim dengan pakatan pembangkang yang seolah-olah persenda kepimpinan dalam Umno," katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Datuk Seri Lajim Ukin, yang minggu lalu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.

"Bagi jawatan Timbalan Menteri, saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukkan kedudukan saya kerana itu budi bicara beliau.

"Bagi menentukan keahlian saya dalam Umno, saya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan... kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti mereka boleh pecat saya," katanya.

Dalam kenyataan itu, Tengku Adnan berkata, "saya telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Datuk Seri Lajim Ukin berkaitan mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada Umno memandangkan beliau telah mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Umno dan BN pada 28 Julai 2012."

"Datuk Seri Lajim perlu menjawb surat tunjuk sebab tersebut dalam tempoh 14 hari bagi dipertimbangkan untukuntuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan Umno," katanya lagi.

Tengku Adnan berkata, Fasal 20.8 Perlembagaan Umno menetapkan bahawa semua ahlinya hendaklah cintakan parti serta patuh kepada Perlembagaan dan Tataetika selain sentiasa memelihara nama baik dan maruah parti.

"Sehubungan itu, Umno memandang serius apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Lajim khususnya dalam pengisytiharan gerakan Pakatan Perubahan Sabah, selain hubungan akrab dengan pakatan pembangkang, yang seolah-olah mempersenda kepimpinan dalam Umno," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung BN berkata, apa yang berlaku adalah isu dalaman bersifat peribadi membabitkan Lajim dan "orang-orang tertentu dalam kancah politik negeri."

"Ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan parti yang telah berjaga kepada negara dan rakyat keseluruhannya," kata beliau lagi. –Sinar Harian

No comments:

Post a Comment