Monday, July 30, 2012

MENJELANG PRU13: RIBUT POLITIK DI SABAH?

Negeri Sabah kini dikatakan berhadapan dengan 'ribut politik'. Sama ada ia besar, sederhana atau kecil masih menjadi tanda tanya.  Situasi itu seumpama itu bukan sesuatu yang baru. Malah, pergolakan seolah-olah lebih kerap sejak Pilihan Raya Umum 2008.
Terbaru apabila kelmarin, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan keputusan meletakkan jawatan parti. 

Begitu juga, Wilfrid Bumburing, Timbalan Presiden UPKO dan MP Tuaran turut mengambil tindakan sama sekaligus merapatkan diri dengan Pakatan Rakyat.

Difahamkan, kedua-dua pemimpin itu keluar BN kira-kira sebulan selepas Perdana Menteri mengumumkan secara rasmi dan formal penubuhan suruhanjaya bagi menangani isu warga asing mendapat kerakyatan Malaysia.


REAKSI

Keputusan dan tindakan yang diambil oleh dua orang pemimpin Negeri di Bawah Bayu ini sudah semestinya mendapat reaksi yang pelbagai. Berikut petikan kenyataan dari beberapa pemimpin berhubung perkara itu:

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang menjadi tokoh diperhatikan oleh banyak pihak di Sabah dan luar Sabah berkata, parti itu menyedari bahawa Lajim dan Bumburing tidak lagi bersama-sama dalam perjuangan Umno dan BN.

Kata Musa, “Perkara ini bukan baru, perkara ini sudah lama kita ketahui tapi baru hari ini beliau buat keputusan...terpulang kepada parti mereka." Malah Musa berkata, sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas berikutan tindakan Lajim dan Bumburing, dan menegaskan bahawa tidak ada krisis dalam BN Sabah.


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta Datuk Seri Lajim Ukin keluar daripada Umno selepas meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort.

"Beliau (Lajim) tidak boleh mendapat kedua-duanya. Jika beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan pendirian parti atau pendirian kerajaan dan sebaliknya beliau secara diam-diam mahu bekerja dengan pembangkang, dengan itu beliau patut keluar daripada Umno sepertimana yang akan dilakukan oleh seorang yang 'gentleman'," katanya.

Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN di Parlimen, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam blognya menulis, "Walaupun BN Sabah merasa sedih dan kesal dengan berita ini tetapi secara jujur dan ikhlas, respons yang saya dapati dari kalanga ahli-ahli BN ketika ini lebih kepada menghembuskan nafas kelegaan."

Ahli Parlimen Kota Belud ini, bahagian yang rapat dengan Tuaran, diwakili Bumburing, Abdul Rahman berkata, beliau lega kerana satu episod lambaian "bye-bye" politik yang terlalu lama dan yang penuh dengan babak-babak dramatik dan retorik yang memenatkan telah berakhir.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula berkata, "Siapa yang tidak lega? Apabila beberapa wakil rakyat PKR khususnya ahli-ahli Parlimen keluar, mereka pun kata lega kerana pihak yang menjadi duri dalam parti akhirnya memutuskan untuk keluar." 

"Di Sabah, soal keluar parti dan tukar kerajaan bukan perkara baru, ia pernah berlaku sehingga membawa kerajaan negeri pimpinan BN dan kemasukan Umno," kata pegawai kanan firma kajian pendapat awam ini.

 Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dipetik menegaskan, tindakan Lajim meletak jawatan dalam parti adalah "asam garam politik." Beliau berkata, desas-desus Lajim ingin meninggalkan Umno telah lama didengar, namun ia sering dinafikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, tindakan Lajim dan Bumburing meninggalkan BN tidak boleh dianggap sebagai perkara kecil.


Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir berpendapat, Barisan Nasional (BN) akan menerima saingan sengit sekiranya bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin bertanding atas tiket parti selain dari BN dalam parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Justeru katanya, BN perlu berhati-hati meletakan calon yang bertanding di parlimen tersebut kerana Lajim mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Menurutnya, tindakan Lajim yang masih belum melepaskan jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, merupakan salah satu strategi politik beliau.

KESIMPULAN 

Di sini, bolehlah disimpulkan bahawa walaupun kebanyakan pemimpin Umno-BN menyifatkan keputusan kedua-dua wakil rakyat tidak akan memberi kesan ke atas pakatan itu, mereka tidak dapat menerima perkembangan semasa ini.

Ini kerana, dalam sejarah politik negara iaitu pada PRU 2012, kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam mengekalkan kuasa BN di Pusat.

KD: Kepada BN, memetik kata-kata, Ibrahim Suffian "adalah menarik untuk mengkaji senario di negeri Sabah" mungkin boleh dijadikan panduan kepada pentadbiran parti itu.

No comments:

Post a Comment