Friday, January 4, 2013

SAMBUTAN AMBANG 2013: 'PERANG' BN DAN PAKATAN TARIK PENGUNDI

SHAH ALAM - Malam sambutan Tahun Baru 2013 yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional di dua lokasi berasingan di negeri ini dilihat dari pelbagai sudut pandang dan persepsi berbeza para pemerhati sementelah ini adalah tahun penting, tahun 'ibu segala pilihan raya'.

Di blog-blog misalnya beberapa gambar dipaparkan bagi menonjolkan program anjuran siapa yang mendapat sambutan lebih baik dan paling penting program mana yang memberi pengisian dan faedah lebih banyak kepada rakyat.

Mengambil kira kedua-dua program ini diadakan di awal tahun bakal berlansgungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), elemen politik pastinya tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti yang dianjurkan oleh kedua-dua parti politik ini.

Menurut Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, Karnival Sayangi Selangor ini mencapai sasarannya untuk menarik masyarakat Malaysia terutama sekali golongan muda mengisi masa cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru 2013 dengan menjalankan aktiviti berfaedah di samping mampu merapatkan hubungan kekeluargaan bersama Barisan Nasional.

"Pertamanya dari segi pengisiannya. Perkara yang kita bangunkan melibatkan penyertaan golongan muda seperti larian belia pagi itu, selepas itu, peluang pekerjaan, hari keluarga, selain itu memudahkan menyelesaikan masalah saman, pendaftaran diskaun untuk komuter, secara naturalnya pengisian kita ini memang untuk memenuhi permintaan golongan muda.

"Jadi mereka datang lah hendak rebut peluang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Ditanya bagaimana program berkenaan dapat menarik kelompok-kelompok tertentu dalam meraih sokongan politik dan sambutannya, Zin berkata, penerimaan yang ditunjukkan cukup baik dan ia suatu petanda positif.

"Kalau orang datang hendak bergaul dengan kita, apa maknanya? Kalau orang menyampah kita, orang datang tak? Sama ada mereka datang untuk sokong atau tidak tetapi sekurang-kurangnya, mereka tidak menyampah dengan kita.

"Terpulang kepada kita lah bagaimana kita hendak meyakinkan mereka tetapi saya rasa tentu lah ada 'feel good factor', betul tak?" katanya.

Zin turut membidas pihak yang membandingkan program anjuran Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional sambil berkata, "mana boleh hendak bandingkan penonton Ustaz Azhar dan penonton kita?"

"Kalau hendak katakan program kita tidak ada unsur kebajikan, kita adakan program santai bersama keluarga, selepas itu beri peluang pekerjaan kepada belia, bukankah itu satu kebajikan?" katanya.

Difahamkan sekitar 100 badan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian sebagai tanda sokongan penganjuran Karnival Sayangi Selangor ini.

Sementara itu, Pakatan Rakyat pula memilih mengadakan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang dimeriahkan dengan kehadiran penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus.

Majlis turut menjemput beberapa orang selebiriti tempatan seperti Aziz M Osman, Diana Amir, Abby Abadi, Kamal Adli dan Malek Noor berkongsi pengalaman penghijrahan mereka.

Program ini juga difahamkan menyasarkan golongan muda sebagai kumpulan sasaran mereka.

Difahamkan kehadiran mencecah 120,000, manakala antara aktiviti yang diadakan ialah solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah diikuti ceramah keagamaan oleh tetamu jemputan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, program Ambang 13 di bawah projek Generasi Idaman Selangor GemS kelolaan Exco Pendidikan, berjaya menyelami jiwa dan kehendak golongan belia masa kini menerusi program ilmu yang lebih berbentuk santai.

"Saya selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor khususnya Pengerusi Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor kita harus berikan alternatif bagaimana menyambut ambang tahun baru ini dengan pengisian yang positif, membina dan membangunkan remaja belia dan juga menghindarkan mereka daripada gejala sosial.

"Pengisian kita ini bukan saja sekadar hiburan, ada sedikit hiburan. Seperti Abby Abadi, walaupun mereka ini selebriti dan artis, namun mereka boleh beri pengisian, beri pendedahan pengalaman, ketelanjuran mereka, kesilapan mereka dahulu, ini yang nak dikongsikan dengan remaja belia," ujar beliau.

Di samping itu, karnival sepanjang hari itu turut digunakan untuk memperkenalkan skim-skim di bawah kerajaan Selangor seperti ekspo pendidikan, program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Hadiah Anak Masuk Universiti dan lain-lain termasuk aktiviti konvoi untuk menarik minat kumpulan mat rempit.

Mengulas mengenai kedua-dua program anjuran Pakatan Rakyat dan BN Selangor ini, penganalisis politik , Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berpendapat, masing-masing tidak dapat lari daripada menggunakan sedikit masa yang tinggal untuk menarik sokongan pengundi terutama pengundi muda yang bilangannya semakin bertambah menerusi program yang dianjurkan.

"Macam BN kita tahu, target mereka ialah orang muda terutama sekali pengundi baru sekarang ini. Mereka merasakan pengundi muda ini mungkin akan lari kepada Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat pula merasakan, pengundi Cina India ini mereka boleh 'pegang' berbanding pengundi Melayu yang nampak berpecah sekarang ini. Ada dan lebih banyak sekarang ini yang menyokong BN berbanding Pakatan," katanya.

Oleh itu menurut Azizuddin, Pakatan Rakyat menggunakan pendekatan keagamaan kerana kumpulan sasar mereka di Selangor adalah golongan Melayu Islam.

"Jadi mereka menggunakan pendekatan dakwah, islamiah untuk menarik sokongan pengundi-pengundi Melayu untuk mengatakan 'Pakatan lebih bagus lah'. Buat ceramah agama dan sebagainya. BN buat hiburan sahaja.

"Jadi persepsi ini orang akan ingat dan dijadikan propaganda mereka untuk menarik orang menyokong Pakatan nanti," ujarnya lagi.

Lantaran itu katanya, jika ditanya strategi siapa lebih berkesan sempena sambutan Tahun Baru yang dikhususkan pada malam 31 Disember, Pakatan Rakyat katanya berhak mendapat pujian itu.

"Kalau kita lihat siapa yang lebih berjaya (dari segi menyusun strategi), memang Pakatan lah menang. Pendekatan yang lebih bersesuaian dan diterima sebab tumpu kepada Melayu, jadi sasaran mereka tercapai lah," ujar beliau.

-Rencana oleh: Salmiah Druhamad Drahsin, Sinar Harian

KD: Dunia politik, dunia penuh cabaran dan persaingan..

No comments:

Post a Comment