Wednesday, April 24, 2013

PRU13: MARUAH PAS TERGADAI JIKA PEMBANGKANG MENANG

KOTA BHARU - Tahaluf siyasi yang dijalin oleh Pas dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya merosakkan dan bakal menyebabkan maruah Pas yang kononnya memperjuangkan Islam hancur.

Menurut Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah, maruah Pas akan tergadai manakala ketuanan Melayu boleh hilang sekiranya pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Jelas Abdullah, pandangan beliau itu mengambil kira pendirian Pas mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan beberapa isu lain melibatkan kepentingan agama dan umat Islam yang gagal Pas pertahankan.

Selain itu, ia juga berkaitan dengan hasrat pakatan pembangkang yang dilaporkan mahu mengubah Perlembagaan negara.

"Ia juga mengambil kira pencapaian Pas dalam siri pilihan raya umum lalu dengan menyaksikan parti itu memenangi jumlah kerusi lebih kecil berbanding sekutunya DAP dan PKR.

"Mengikut kajian yang Minda Pondok buat, Pas memang tak boleh menang banyak melebihi sekutu mereka sedangkan calon dalam PKR ramai bukan Melayu. Ini bermakna, sekiranya pakatan menang, ketuanan Melayu boleh hilang dan Pas juga akan hancur," katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdullah diminta mengulas keresahan banyak pihak mengenai kedudukan Pas selepas pilihan raya umum ini mengambil kira jumlah kerusi yang ditandinginya dan pencapaian lampau parti itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Pas bertanding di 74 kerusi Parlimen berbanding PKR (99) dan DAP (50), namun rekod lampau Pas menunjukkan, parti itu hanya memenangi jumlah kerusi lebih kecil berbanding dua sekutunya itu.

Mengulas lanjut Abdullah berkata, sekiranya Pas bertanding di lebih banyak kerusi, maka peluang parti itu untuk menang dan mendominasi pakatan pembangkang lebih cerah.

Namun katanya, keadaan tersebut tidak berlaku berikutan sikap pemimpin Pas yang kerap tunduk kepada sekutunya terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau sifatkan tidak layak sama sekali menjadi ketua kerajaan.

"Anwar tidak layak menjadi ketua kerana politik yang diamalkannya bersifat politik balas dendam. Mungkin Pengerusi DAP, Karpal Singh lebih layak.

"Dalam pada itu, kesedaran orang Melayu di seluruh negara semakin tinggi mengenai hakikat perjuangan pakatan yang boleh mengancam kedudukan mereka pada masa hadapan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati ahli-ahli Pas yang masih taksub dengan pemimpin mereka supaya berfikir secara lebih waras dan objektif mengenai kedudukan parti tersebut yang akan tergugat jika masih bersama pakatan.

Abdullah turut meminta ahli Pas berfikir dan merenung bagaimana pemimpin Pas sanggup mengetepikan dasar perjuangan parti dengan membenarkan DAP menggunakan logo Pas meskipun pucuk pimpinan DAP secara terus menerus menentang hasrat Pas untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

"Tahaluf yang Pas bina ini sebenarnya merosakkan dan orang Melayu wajib menolak parti itu. Jangan beri walau satu undi kerana kemenangan Pas bermakna kemenangan kepada DAP, PKR. Jika ini berlaku Melayu akan jatuh," katanya. –UTUSAN ONLINE

KD: Mungkinkah ini akan terjadi???

No comments:

Post a Comment