Wednesday, December 18, 2013

AJARAN SYIAH, QADIANI SESAT

KANGAR - Kerajaan negeri menegaskan bahawa ajaran Qadiani dan Syiah diwartakan sebagai ajaran sesat.

Exco Hal Ehwal Agama, Pembangunan Sumber Manusia, Khairi Hasan berkata, ajaran Qadiani diwartakan sebagai sesat pada 4 Ogos 2011 dan ajaran Syiah pula diwartakan sesat pada 7 Ogos 2012.

Menurutnya, keputusan itu dibuat melalui Majlis Agama Islam Perlis (Maips) dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

“Bagi membendung dan mengekang ajaran-ajaran yang salah serta menyeleweng, pihak Maips melalui agensi-agensi seperti Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri turut mengadakan majlis-majlis ilmu dan pengedaran risalah khas bagi memperjelaskan kesesatan ajaran salah berkenaan.

“Ajaran sesat seperti Syiah dan Qadiani amat berbahaya kepada masyarakat Islam pada hari ini. Pemantauan dan pengawasan berterusan juga dilaksanakan oleh agensi-agensi Maips dengan kerjasama pihak polis dalam mengekang ajaran berkenaan dari memesongkan akidah umat Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan-soalan lisan Asmaiza Ahmad (BN-Chuping) yang bertanyakan apakah usaha kerajaan negeri untuk membendung dan mematikan terus fahaman-fahaman yang memesongkan akidah umat Islam, semasa Sidang Dun Perlis, semalam.

Khairi berkata, usaha untuk mengekang penularan ajaran itu di Perlis akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dengan pelbagai pendekatan dan aktiviti yang bersesuaian.

“Berkaitan isu ajaran Qadiani, tindakan undang-undang sudah diambil dan langkah yang sama akan turut diambil ke atas ajaran-ajaran salah yang lain apabila pihak kerajaan mempunyai bukti yang kukuh,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment