Wednesday, December 18, 2013

ISU KENAIKAN KADAR TOL: PEMUDA UMNO CADANG BERI REBAT, KURANGKAN BEBAN

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji mengadakan pemberian rebat sebagai pulangan kepada pengguna pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan beban kenaikan tol.

Ketua Pemuda Umno Kepong, Abd Razak Abd Rahman berkata, rebat tersebut boleh diperoleh melalui semua  pengendali pengangkutan awam khususnya di ibu kota.

Menurutnya, sebagai contoh pengguna akan memperoleh rebat berupa baucar yang boleh ditukar melalui kad prabayar Touch n Go setiap kali  menggunakan perkhidmatan awam seperti bas, LRT atau komuter.

“Melalui kenaikan kadar tol, kerajaan patut memberi  keuntungan kepada rakyat bukan tertumpu hanya  kepada pemegang-pemegang saham syarikat konsesi.

“Selain itu, rebat  diskaun ataupun pengecualian tambang juga dicadangkan kepada pelajar dan warga emas yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Razak turut menyarankan kempen car-pool perlu dikuatkuasakan  semula  bagi memberi insentif pengecualian kadar tol atau kadar minimum kepada kenderaan pengangkutan awam.

“Kita memang memahami bahawa mengikut perjanjian konsesi, kadar ini perlu dinaikkan, bagaimanapun, perlu ada timbal balas kepada rakyat secara dua hala melalui situasi menang-menang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


No comments:

Post a Comment