Wednesday, December 18, 2013

KENAIKAN KADAR TOL: PEMEGANG KONSESI PROJEK LEBUH RAYA PERLU DAPATKAN MAKLUM BALAS PENGGUNA

KUALA LUMPUR - Ulasan Datuk Seri Abdul Wahid Omar bahawa pemegang konsesi projek lebuh raya baharu perlu membuat kaji selidik terlebih berapa jumlah yang sanggup dibayar pengguna bagi kadar tol baharu merupakan satu langkah yang wajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata arahan kerajaan tersebut akan membantu menentukan penerimaan pengguna bagi kadar lebuh raya baharu. 

Dengan kata lain, sesebuah syarikat yang melaksanakan projek perlu menjalankan kaji selidik tapak terlebih dahulu tentang kesanggupan pengguna untuk membayar sekiranya lebuh raya dibina.

Langkah itu akan memastikan kadar tol yang ditetapkan kerajaan merupakan kadar yang mampu dibayar oleh rakyat.

Lebuh raya baharu juga boleh menjadi alternatif kepada lebuh raya sedia ada.

Bercakap pada sesi taklimat mengenai ekonomi kepada media di sini, hari ini, Abdul Wahid menjelaskan bahawa beliau merujuk kepada pemegang konsesi lebuh raya baharu yang melaksanakan projek yang juga akan menjadi alternatif kepada lebuh raya sedia ada.

Kaji selidik tapak yang dikendalikan oleh syarikat yang melaksanakan cadangan lebuh raya baharu bagi pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) menunjukkan bahawa mereka bersedia membayar jumlah premium bagi laluan alternatif.

Ini bermakna apabila pengguna sanggup membayar jumlah premium, barulah cadangan Lebuh Raya Kinrara-Damansara boleh diteruskan seperti yang dirancang kerana ia akan menyediakan alternatif lebih pantas dan efisien kepada trafik LDP yang sentiasa sesak. 

Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) sejauh 13 kilometer itu akan menghubungkan persimpangan Damansara–NKVE Lebuh Raya Lembah Klang Baharu di bahagian utara ke Bandar Kinrara di selatan.

Lebuh raya ini dijangka dibina sama ada bagi asas bertingkat atau di bahagian bawah dan memperkenalkan laluan alternatif efisien bagi lalu lintas menghala ke arah utara atau ke arah selatan di Lembah Klang. Ia juga menyediakan hubungan ke lebuh raya sedia ada bagi penyuraian trafik efektif di Lembah Klang.

Abdul Wahid berkata, Kidex akan menjadi projek prasarana yang dimajukan oleh sektor swasta kerana kebanyakan bahagian adalah yang bertingkat.

Justeru itu penting bagi pemegang konsesi baharu untuk menentukan daya majunya berdasarkan kepada kuantiti trafik dan maklum balas pengguna sebelum menyerahkan cadangannya kepada kerajaan. 

Kesudahannya, kadar tol dalam perjanjian konsesi akan menjadi apa yang sanggup dibayar oleh pengguna.  – Bernama

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment