Tuesday, September 25, 2012


BNM PERLU DEDAH PENYALURAN DANA LUAR
Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau dan mengambil tindakan secara serius terhadap setiap kemasukan dana asing kerana ia melibatkan keselamatan negara yang tidak boleh dikompromi.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, BNM perlu berhenti berlembut terhadap pihak yang menerima dana asing, apatah lagi golongan itu terlibat dengan gerakan antikerajaan.
Sehubungan itu, beliau mendesak BNM segera menjelaskan status sebenar kes-kes melibatkan penyaluran dana asing secara haram ke dalam negara ini iaitu pihak mana yang menyalur dan siapa menerima.
Perbuatan ini (menerima dana asing untuk tujuan antikerajaan) bukan isu politik tetapi soal keselamatan negara yang tidak boleh berkompromi walaupun dengan apa cara sekalipun. -UtusanOnline

Monday, September 24, 2012

HUDUD: UMNO DAN PAS PERLU BERSATU JIKA MAHU HUDUD - ILMU

Umno dan PAS perlu duduk semeja dan mengenepikan urusan politik bagi meneruskan cadangan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Anggota Majlis Syura Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Ahmad Fauzan Yahaya berkata, idea gabungan kedua-dua parti berkenaan merupakan satu usaha yang mantap bagi memartabatkan agama dan mendukung cita-cita murni dalam mendaulatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Post Pic"Kalau nak cerita pasal negara demokrasi, bila PAS nak buat hukum hudud, bekerjasama dengan parti kafir (DAP) dan di sebelah kawannya juga PKR yang ada rojak punya pegangan, idealisme, pluralisme, macam mana kamu nak perjuangkan Islam?

"Kalau benar mereka serius nak perjuangkan Islam, yang terbaik adalah bergabung dengan Umno. Macam Tun Mahathir cakap, kalau betul serius mahu buat, bergabunglah PAS dengan Umno. Jika tidak, ia tidak ke mana, hanya omong kosong," katanya.

Ahmad Fauzan selain itu berkata, pelaksanaan hukum hudud di negara ini mungkin mengambil masa berikutan kepelbagaian kaum yang harus diberikan kefahaman dan mengambil kira persekitaran yang kondusif.

"Dan saya secara peribadi mengatakan bahawa hukum hudud mungkin agak jauh lagi memandangkan kita sebuah negara berdemokrasi tapi kita kena tanam cita-cita itu suatu hari nanti Insya-Allah dipermudahkan, berdoa kepada Allah agar hukum ini akan berada di Malaysia," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Jawatan Kuasa, Persatuan Generasi Bestari Dr Wan Mohd Adam berkata, Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang dicemburui oleh negara luar ekoran pelaksanaan sistem ekonomi dan pendidikan yang berlandaskan Islam.

Tambahnya lagi, situasi tersebut dilihat sebagai salah satu pemangkin untuk negara kita melaksanakan hukum hudud, cuma masih terdapat fasa-fasa yang perlu dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat kefahaman penuh berkenaan hukum ini.

"Pelaksanaan hukum hudud ini, kalau kita kata nak laksana, dulu lagi kita boleh laksana, dah lama dah, masa dah tiba, cuma kekangan kita hari ini ialah kefahaman kepada masyarakat.

"Kefahaman itu bukan kefahaman atas ideologi politik, sebab hari ini, yang jadi orang-orang bukan Islam jadi takut dengan hukum hudud kerana kefahaman yang diberikan atas dasar ideologi politik.

Apa yang kita tengok yang paling penting hari ini, untuk mendaulatkan lagi, hal ini orang Islam kena bersatu hati, kita letak dekat luar dulu elemen kepartian itu, kita duduk bersama bagi fahamkan orang bukan Islam bahawa hukum hudud ini ialah hukum yang kami kena wajib laksanakan di masa yang sama dia berkaitan dengan kami dan mereka juga ada undang-undang lain," kata beliau.

Dalam masa yang sama, untuk melaksanakan hukum hudud, setiap pihak perlu mengambil kira keselesaan dan penerimaan penduduk yang berbilang kaum agar tidak timbul keresahan dan kegusaran terutamanya di kalangan orang bukan Islam.

"Kerajaan patut kumpul cendiakiawan, ilmuan yang hebat-hebat, yang mana mereka ini mengkaji dari segi ilmiah, bagaimakah pelaksanaan hukum hudud, dalam konteks Malaysia," katanya. –AntaraPos.com

Sunday, September 23, 2012

PADERI JUGA KESAL FILEM HINA ISLAM
Paderi Sebastian

PULAU PINANG: Selain masyarakat Islam seluruh dunia menentang filem 'Innocence Of Muslims' yang menghina Nabi Muhamad saw hasil arahan  Sam Basile yang memulakan tayangan pada 2 Julai lalu melalui Yuotube beberapa orang paderi Kristian yang ditemui di Pulau Pinang juga kesal dan marah terhadap isu berkenaan.
Bagi mereka agama yang dijadikan Tuhan bukan untuk bermusuh sebaliknya mengenali sesama sendiri kerana masing- masing agama mempunyai kelebihan tersendiri yang mencorak umatnya melakukan kebaikan dan menghormati antara satu sama lain.
Bishop Sebastian Francis yang ditemui di Cathedral Of The Holy Sprit, Glugor menambah,  cara yang dibuat oleh pengarah dan penerbt filem itu sebenarnya bukan cara atau budaya orang Kristian sebaliknya dipengaruhi oleh anasir yang kurang sopan.
"Kami dari Kristian cukup kecewa dan tidak sekali-kali bersetuju dengan filem yang nyata tidak bermoral.  Padahal agama yang dijadikan oleh Tuhan semuanya membawa kepada kebaikan bukan mencari pergaduhan," tegasnya yang telah 35 tahun bertugas sebagai Bishop dibeberapa buah negeri.
Father Bernerd
Sementara itu seorang lagi Paderi, Father Bernerd Paul pula kesal terhadap pengarah dan penerbit yang mengeluarkan filem berbentuk penghinaan terhadap agama Islam.
Pihak yang bertanggungjawab juga sewajarnya, bertimbang rasa dan tahu apakah risikonya menayangkan filem yang bermatlamat menghina Islam yang menjadi agama pilihan ramai penduduk dunia.
"Pengarah filem Innocence Of Muslims atau  penerbitnya hendaklah menghormati sentiviti Umat Islam dengan memohon maaf kerana mengeluarkan filem tersebut.  Inilah cara untuk meredakan kemarahan Umat Islam terhadap mereka, " jelasnya.
Perkembangan terbaru, setelah diasak oleh ramai masyarakat Islam seorang aktres wanita yang membintangi filem tersebut, Cindy Lee Garcia menyaman penerbit filem itu, Nakoula Basseley Nakoula kerana tertipu dengan skrip yang bertujuan menghina Nabi Muhamad s.a.w.
Beliau juga mengesa Google mengeluarkan segera klip video yang mengundang kemarahan Umat Islam seluruh dunia dari dalam talian sebabtidak menyedari skripnya mengandungi unsur anti Islam. -Harakahdaily

Saturday, September 22, 2012

KAMERA AES TELAH DIPASANG DI 14 LOKASI

Pelaksanaan Automated Enforcment System (AES) akan dilakukan secara berperingkat, untuk fasa pertama, kamera AES telah dipasang di 14 lokasi blackspots yang merupakan lokasi yang sering berlaku kemalangan maut di negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Perkara itu dimaklumkan di laman web Jabatan Pengangkutan Jalan.

Untuk mengetahui senarai lokasi pemasangan kamera AES tersebut, pengguna jalan raya boleh melayari http://portal.jpj.gov.my -Harakahdaily

Friday, September 21, 2012

KECAM INNOCENCE OF MUSLIMS


KUALA LUMPUR 20 Sept. - Majlis Tertinggi UMNO mengecam dan mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempertikai tindakan umat Islam bangkit membantah penyiaran filem anti-Islam Innocence of Muslims.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Koo Ham itu jelas memperlekeh umat Islam selain membuktikan DAP sebuah parti yang langsung tidak peka dengan isu-isu berkaitan dengan kepentingan masyarakat Islam.

Malah katanya, permohonan maaf yang dibuat Pengerusi DAP Perak itu hanya selepas teruk dikecam pelbagai pihak boleh dipersoal sejauh mana keikhlasan kerana sebagai pemimpin, beliau hairan mengapa Koo Ham tidak berfikir panjang sebelum membuat kenyataan itu.

Pada masa sama, Najib berkata, Majlis Tertinggi UMNO juga mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah Perancis.

"Kalau begitu kita pun buat kenyataan menghina dan kemudian minta maaf. Soalnya sejauh mana keikhlasan dia? Sepatutnya dalam isu agama mereka (pemimpin pembangkang) perlu lebih berhati-hati," katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta semua ketua pergerakan.

Mengulas lanjut mengenai filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang mencetus kemarahan umat Islam, Najib berkata, perbuatan tersebut tidak boleh diterima kerana ia mencemar kesucian agama Islam dan kemuliaan Rasulullah.

Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk mempertahankan agama Allah tetapi harus dilakukan dengan menggunakan pendekatan berhemah tanpa sebarang keganasan kerana Islam menolak keganasan.

"Kemarahan umat Islam ini adalah sesuatu yang dijangka dan tidak dapat dielakkan memandang mereka telah menghina Nabi Muhammad SAW. Ia perbuatan yang tidak boleh diterima walau apa alasan sekalipun termasuk atas nama kebebasan bersuara.

"Namun dalam mempertahan kesucian agama Allah ini, kita mestilah menggunakan pendekatan berhemah. Bantahan secara keganasan melampau sehingga membawa kematian bukan penyelesai masalah," katanya.

Najib sehubungan itu menggesa seluruh umat Islam hadir beramai-ramai untuk menyuarakan bantahan secara aman terhadap penyiaran filem dan karikatur tersebut bersama-sama Pergerakan Pemuda UMNO selepas solat Jumaat esok, di depan Masjid Jamek Kampung Baru. -BHarian

PRU-13 BUKAN NOVEMBER KERANA...

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi bayangan baru bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak mungkin akan diadakan pada November ini walaupun ramai yang membuat spekulasi sedemikian.

Ini kerana katanya, Perhimpunan Agung Umno telah ditetapkan dan dijadualkan dari 27 November hingga 1 Disember.

"Jika PRU-13 hendak diadakan dalam bulan November, sudah semestinya Perhimpunan Agung Umno juga akan ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, di Menara Datuk Onn, di sini, Khamis.

Najib yang juga presiden Umno berkata, jika benar PRU-13 akan diadakan dalam masa terdekat, sudah semestinya beliau akan menangguhkan terlebih dahulu Perhimpunan Agung Umno pada tahun ini.

"Tapi ikut suka kitalah mahu buat PRU-13 bila sekalipun," ujarnya berseloroh kepada para pemberita.

Sebaliknya beliau berkata, semua pihak berhak membuat spekulasi berhubung tarikh PRU-13.

"PRU-13 akan tetap diadakan. Mengenai tarikh, ia terletak kepada saya untuk tetapkan bila ia akan berlangsung," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menambah, pemilihan pucuk pimpinan tertinggiUmno akan turut ditangguhkan sehingga selesai PRU-13.

"Pemilihan tertinggi parti akan ditangguhkan sehingga kita selesai PRU-13...itu pasti," katanya lagi. -MStar
KARTUN HINA NABI: PERANCIS TUTUP SEKOLAH DI 20 NEGARA

PARIS: Perancis akan menutup buat sementara waktu kedutaan dan sekolahnya di 20 buah negara Jumaat ini selepas satu majalah Perancis menerbitkan kartun yang menghina Nabi Muhammad.

Langkah ini diambil kerana bimbang kartun tersebut akan memburukkan lagi situasi tegang berikutan filem yang menghina Nabi baru-baru ini.

"Sesungguhnya kami telah memutuskan untuk menutup premis, kedutaan, konsulat, pusat kebudayaan dan sekolah sebagai langkah keselamatan," kata jurucakap Kementerian Luar Negara berkenaan penutupan Jumaat ini.

Rabu lalu, Perancis meningkatkan keselamatan dan merayu orang ramai supaya tenang selepas suratkhabar mingguan berbentuk satira, Charlie Hebdo menerbitkan kartun tersebut.

Laurent Fabius, Menteri Luar Negara Perancis, berkata beliau telah mengarahkan langkah-langkah keselamatan khas "di semua negara yang mungkin akan menimbulkan masalah". Demonstrasi dalam dunia Islam sering diadakan selepas  solat Jumaat.

Fabius mengakui bahawa beliau "bimbang" dengan potensi tindak balas yang buruk dari kartun Charlie Hebdo itu, berdasarkan protes yang telah berlaku dalam dunia Islam yang membantah filem yang menghina Nabi, Innocence of Muslim.

Polis ditempatkan di luar pejabat majalah tersebut di Paris Rabu lalu. Pejabat penerbitan majalah sayap kiri, dan libertarian itu telah dibom tahun lalu selepas ia menerbitkan edisi Sharia Hebdo, yang kononnya diedit oleh penulis tamu, Nabi Muhammad.

Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault menggesa supaya pihak tersebut "bertanggungjawab" dan berkata sesiapa yang tersinggung dengan karikatur tersebut boleh mengemukakan saman.

Sekolah dan pusat kebudayaan Perancis di Mesir akan ditutup Khamis ini sebagai langkah berjaga-jaga, kata konsulat Perancis.

"Walaupun tiada ancaman khusus di Mesir, kami telah memutuskan seperti di negara-negara lain, untuk menutup sekolah-sekolah Perancis dan pusat-pusat kebudayaan di Mesir pada Khamis September 20 sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan. -AlJazeera/Harakahdaily