Tuesday, January 8, 2013

PRU: DR M AKUI BN ADA KELEMAHAN, TAPI MAHU DIKEKAL

Tun Dr Mahathir Mohamad.PUTRAJAYA -  Generasi muda hari ini harus bijak membuat penilaian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sepanjang 55 tahun mentadbir negara, kata Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Beliau berkata, generasi muda yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan dan maju telah menganggap kemajuan negara adalah satu perkara yang biasa dan mereka juga tidak bersyukur dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan.

Sehubungan itu, beliau yang sudah hampir 67 tahun menceburi bidang politik  khuatir golongan muda yang kurang pengalaman mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Ada pula yang kata mahu tukar kerajaan kerana sudah diperintah BN selama 55 tahun. Ini sesuatu yang merbahaya dan kalau memberi kuasa kepada orang yang tidak baik, ia boleh merosakkan negara kita dalam jangka masa singkat dan ia tidak mudah dipulihkan.

"Generasi muda jangan nak ada selera baru dan cuba parti pembangkang yang hanya akan membawa kerosakan kepada negara. Mereka harus bijak membuat perbandingan iaitu Malaysia dahulu, sebelum merdeka dan apa yang dicapai sekarang.

"Mereka harus ikhlas membuat penilaian bahawa Barisan Nasional yang memerintah selama 55 tahun telah banyak berjasa dalam memajukan Malaysia. Mereka harus membuat pertimbangan waras dan memilih siapa yang boleh memerintah negara ini menjelang PRU13 nanti," katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama anggota Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Dr Mahathir juga mahu pemimpin veteran yang mengetahui matlamat dan pencapaian negara terus membantu dan memimpin generasi muda yang akan menentukan masa depan negara agar terus menyokong BN yang telah berjasa dalam membawa pembangunan di negara ini.

"Tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda hari ini mungkin tidak sependapat atau tidak puas dengan kerajaan sekarang tetapi adalah lebih baik memilih orang yang kita kenal dan tahu daripada orang yang tidak kenal. Bak pepatah Inggeris, 'Better the devil you know than the angel you don't," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyaran semua ahli Umno berganding bahu untuk memastikan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menang dalam PRU13 nanti.

Sambil mengakui bahawa Najib bukan terbaik dan ada kelemahan, beliau mahu semua ahli Umno agar tidak membuat penilaian terbuka tentang baik buruknya, sebaliknya mengemblengkan tenaga untuk memastikan BN boleh mendapat majoriti dua pertiga.

"Apabila BN dah menang pada PRU13 dan tubuhkan kerajaan, kita boleh memperbetulkan kesilapan dan kesalahan demi kepentingan bersama... pada masa itulah, kita boleh tegur dan menggodam," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir kesal tindakan sesetengah pemimpin Umno demi kepentingan diri telah menyekat golongan yang berpendidikan, berbakat dan profesional menyertai parti itu.

"Tidak dapat dinafikan bahawa ada orang masuk Umno kerana mahu mendapatkan sesuatu untuk diri sendiri sehingga tidak bagi orang lain masuk Umno.

"Ini penyakit yang sudah ada ketika zaman saya ... dulu doktor dan jurutera tiada dalam Pas tetapi sekarang dah ada kerana apabila mereka tidak masuk Umno, mereka masuk Pas," katanya. – Bernama/Sinar Harian
AMANAT HADI DIMANIPULASI?
Cari petualang sebar amanat - Nizar

Datuk Seri Ir Muhammad Nizar JamaluddinIPOH - Petualang yang menyebarkan Amanat Haji Hadi 32 tahun lalu perlu dicari kerana individu itu bertanggungjawab mencetuskan kontroversi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, petualang dimaksudkan dipercayai bekas ahli Pas dan kini menganggotai Umno di Terengganu.

Beliau mendakwa, bekas ahli Pas itu dipercayai antara mereka yang hadir ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan di Kampung Banggol Peradong, Manir, Terengganu, 7 April1 981.

Katanya, ramai pihak salah tafsir ucapan dan kenyataan Abdul Hadi itu, sedangkan ia hanyalah perkara biasa yang dilakukan ketika menyampaikan ucapan.

“Individu berkenaan seharusnya meneliti sepenuhnya sebelum dan selepas ucapan yang dibuat sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menolak cadangan Pas mengadakan muzakarah secara tertutup mengenai isu Amanat Haji Hadi.

Katanya, sepatutnya Abdul Hadi diberi peluang menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat melalui siaran langsung di televisyen, seperti diminta Abdul Hadi.

“Cadangan (mengadakan muzakarah secara tertutup) itu bukanlah kaedah terbaik untuk mencari kebenaran. Perkara (berkaitan penjelasan) itu perlu dilakukan secara terbuka agar rakyat boleh menilai,” katanya.

Hadi tidak pernah kata Umno kafir - Nasaruddin Daud

Mohd Nasaruddin DaudKOTA BHARU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menuduh Umno kafir, namun amanatnya yang disampaikan 32 tahun lalu disalahertikan oleh pihak sehingga menimbulkan kontroversi.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Mohd Nasaruddin Daud berkata, musuh politik sengaja menimbulkan isu yang sudah lapuk ini, sedangkan ia tidak pernah memberi kesan kepada masyarakat dan pimpinan Umno sebelum ini, tetapi sengaja ditimbulkan kembali menjelang pilihan raya.

“Beliau (Hadi) tidak pernah mengatakan mereka (Umno) murtad, namun tanggapan mereka ketika dahulu, ‘politik suku agama suku’ (politik asing agama asing) yang pernah dilontarkan oleh pimpinan pihak berkenaan sebelum ini menjerat diri mereka sendiri.

“Akibatnya, mereka pula yang terasa dengan apa yang mereka hujahkan dan mula menuduh Pas pula yang menimbulkan isu panas itu,” katanya ketika berucap pada forum ‘Isu Gadai Tanah : Menjawab Tuduhan Umno Kelantan di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, malam kelmarin.

Dalam perkembangan isu terbabit, Nasaruddin berkata, perlu diingat sebelum ini pada tahun 2001, Hadi pernah menyatakan kesanggupan berdepan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan apabila tiba masanya pengerusi majlis terbabit membatalkan muzakarah itu.

“Sekarang isu ini diungkit kembali oleh Umno, dan Presiden kita (Hadi) bersedia menjelaskan amanat yang diucapkannya di stesen RTM dan TV3 namun niatnya tidak disokong kerana ada pihak yang menentang dan menyatakan penjelasan itu boleh dibuat di dalam media lain dan bukannya arus perdana.

“Sepatutnya kedua-dua stesen televisyen inilah yang memberi peluang kepada Hadi, disebabkan TV3 dan RTM yang sering memainkan isu ini dan menyerang hadi secara terang-terangan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih menghairankan juga Hadi sendiri tidak pernah menerima sebarang surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan kenyataannya itu bercanggah dengan ajaran Islam.

“Hanya ditempelak oleh dua mufti iaitu Mufti Perak, Tan Sri Harrusani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang menggesa Hadi menarik balik amanatnya berkenaan.

“Mereka kata amanat ini sesat, Hadi kena bertaubat, sepatunya mereka beri peluang dulu, biar beliau terangkan dan selepas itu nilai kembali apa yang dinyatakan sebelum membuat tuduhan,” katanya.
STATUS HIMPUNAN RAKYAT GUNA STADIUM MERDEKA MASIH JADI TANDA TANYA

KUALA LUMPUR – Sama ada Himpunan Kebangkitan Rakyat, yang dijadual untuk diadakan berlangsung di Stadium Merdeka, Sabtu ini belum ada keputusan daripada pihak pengurusan stadium terbabit.


Perhimpunan aman anjuran Sekretariat Pakatan Rakyat melahirkan kekesalan itu, apabila permohonan mereka untuk menyewa, sekali gus menggunakan stadium bersejarah itu sebagai lokasi utama perhimpunan kali terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak mendapat maklum balas positif daripada Merdeka Heritage Trust.

Menurut Setiausaha Kerja Himpunan Kebangkitan Rakyat, Adib Ishar, permohonan untuk menggunakan Stadium Merdeka telah dikemukakan kepada pengurusan stadium pada 26 Disember lepas.

Bagaimanapun sehingga kini pihaknya masih tidak mendapat sebarang maklum balas ataupun surat kelulusan penggunaan kemudahan itu.

"Kita datang hari ini untuk menyerahkan surat lanjutan permohonan kita yang lepas, saya dah hubungi banyak kali pengurusan Merdeka Heritage Trust, tapi masih tiada jawapan.

"Malangnya kami pada hari ini, dinafikan hak untuk berjumpa dengan wakil daripada Stadium Merdeka, jadi kita agak kecewa,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini bagi menyerahkan memorandum desakan supaya pihak Stadium Merdeka mengeluarkan surat kebenaran menggunakan kemudahan sukan itu pada 12 Januari ini.

Tambah Adib, hasrat Sekretariat PR untuk menyewa Stadium Merdeka sebagai satu sahutan kepada cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini meminta pembangkang mengadakan himpunan dalam stadium tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang turut serta dalam penyerahan memorandum desakan mendakwa pihaknya telah memaklumkan secara lisan kepada pihak pengurusan stadium untuk bertemu hari ini.

Namun setelah sejam jam menunggu, pihak pengurusan tidak muncul atau menghantar wakil.

"Nampaknya mereka tidak boleh hantar wakil, kerani pun tak boleh hantar, pembantu peribadi pun tak boleh hantar sedangkan kami sebut, kita nak hantar surat, bukan kita nak berbincang atau sebagainya, hantar surat bagi pihak Pakatan Rakyat.

"Bagi kami, ini satu sikap yang tidak baik ditunjukkan oleh pengurusan stadium walaupun mereka berjanji bahawa pengurusnya sendiri akan turun ke bawah,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun beliau memuji pihak keselamatan yang memberi respons yang baik tentang hasrat mereka untuk mengadakan himpunan aman dalam kawasan tertutup, malah mereka bersedia memberi kerjasama untuk menjaga keselamatan sepanjang program berlangsung nanti.

"Kita bimbang bila saat akhir kelulusan dibuat, andai kata dibatalkan atau tidak diterima, kita bimbang ia akan menyebabkan tekanan lain atau tindakan lain seperti provokasi yang menyebabkan himpunan ini akan gagal,” katanya sambil mempersoalkan kelambatan pihak
stadium mengeluarkan surat kebenaran meskipun dua kali tindakan susulan telah diambil pihaknya.

Sementara itu, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan, Julailey Jemadi melahirkan kekecewaannya apabila pihaknya tidak dibenar memasuki pejabat pihak pengurusan stadium sebaliknya mereka hanya dibenarkan menunggu di lobi bangunan PNB.

"Layanan ini seolah-olah tidak menggambarkan kebudayaan kita sebagai rakyat Malaysia yang menerima tetamu tapi dilayan begitu saja, agak mengecewakan kami,” katanya.

Ditanya sekiranya permohonan mereka ditolak, pihaknya bertegas akan meneruskan himpunan aman.

"Kami akan buat tindakan susulan selepas ini mungkin petang ini, mungkin besok pagi dan bila-bila kami akan desak pihak pengurusan Merdeka Heritage supaya permohonan kami diterima,” katanya.

Sehubungan itu, satu mesyuarat khas pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan diadakan esok bagi mencari jalan keluar kepada kemelut ini dan hasilnya akan dibawa kepada pengetahunan pihak Bukit Aman bagi tindakan susulan sebelum perhimpunan itu diadakan. - Sinar Harian

Monday, January 7, 2013

AMANAT HADI: MUFTI SYOR MAJLIS FATWA JEMPUT HADI

SHAH ALAM – Majlis Fatwa Kebangsaan mesti menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan bagi menyelesaikan kemelut berkaitan dengan apa yang dipanggil Amanat Haji Hadi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad menegaskan, isu yang menjadi kontroversi itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan berdasarkan laporan akhbar.

"Ia mesti mengikut prosedur. Datuk Seri Abdul Hadi perlu dijemput untuk berbincang dan bagi mendapatkan penjelasan. Ia tidak boleh diselesaikan mengikut andaian," katanya.

Mengenai fatwa yang dikeluarkan mengenai amanat itu, Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh bergantung kepada fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa di peringkat negeri.

Kuasa mengeluarkan fatwa, katanya, adalah kuasa negeri dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak semestinya satu keputusan mutlak kerana kuasa agama kekal di bawah kuasa negeri.

Beliau menjelaskan, fatwa sesebuah negeri boleh diguna pakai oleh negeri yang menggazetnya.

“Jika fatwa yang dikeluarkan di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan hanya di peringkat kebangsaan, dan ia tidak akan dibawa ke negeri, ia tidak menjadi undang-undang keseluruhan kerana ia berperanan menyelaras sahaja,” katanya.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pula menegaskan tiada fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan secara khusus mengenai Amanat Haji Hadi yang menjadi isu kontroversi itu.

Katanya, beberapa fatwa yang dikeluarkan mengenai isu seumpama itu adalah dibuat oleh majlis fatwa peringkat negeri.

Sebuah daripadanya adalah Majlis Fatwa Negeri Melaka, yang dikeluarkan pada 2002.

Fatwa yang diputuskan di peringkat negeri, katanya, tidak semestinya boleh diguna pakai oleh negeri lain.

“Fatwa yang ada itu ialah mengenai isu kafir-mengkafir, sama seperti fatwa (yang dibuat) oleh Kelantan. Fatwa yang ada dalam laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, fatwa yang dikeluarkan oleh negeri tertentu terhad kepada negeri berkenaan sahaja, sementara negeri yang mempunyai raja atau sultan perlu mendapat perkenan raja atau sultan masing-masing.

"(Untuk) isu yang berlaku di negeri tertentu, hanya negeri (yang terlibat) itu patut mengeluarkan fatwa mengenainya,” katanya. – Sinar Harian

KD: Kebanyakan para mufti telah pun mengeluarkan pandangan masing-masing. Sewajarnya, kerajaan bertindak proaktif dan mempertimbangkan pandangan-pandangan ini demi memastikan isu ini dapat diperjelaskan sekali gus diselesaikan dengan bijaksana.

ISU TANAH PAJAKAN: KERAJAAN KELANTAN SEDIA DISIASAT - NIK AZIZ
 
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menerima dengan terbuka syor diadakan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat secara terus berhubung isu pajakan tanah seluas 4,000 hektar kepada syarikat yang kini dimiliki dua pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya terbuka kepada apa jua bentuk siasatan kerana kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar telus dalam pentadbirannya.

Menurutnya, pegawainya telah pun menyerahkan fail-fail berkaitan urusan pajakan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

“Saya beri peluang kepada orang buat apa sahaja termasuklah suruhanjaya diraja atau apa sekalipun. Saya selalu sebut, pejabat saya dibuka 25 jam sehari dan bukannya 24 jam.

“Dengan cara itu saya sendiri selalu beringat, pegawai sendiri selalu beringat, kerana apa? Kerana Menteri Besar sebut 25 jam buka pejabat untuk disiasat,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baru sempena Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengulas desakan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mahu suruhanjaya ditubuhkan bagi merungkai rasa tidak puas hati rakyat negeri ini berhubung penjelasan yang dibuat kerajaan negeri berhubung pajakan tanah tersebut. – Sinar Harian

KD: Sangat suka dengan kenyataan ‘pejabat MB dibuka 25 jam sehari’ itu…
BR1M MUNGKIN NAIK RM1,000

SLIM RIVER - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bercadang menaikkan jumlah RM500 kepada RM1,000 di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada setiap rakyat yang berkelayakan.

Menurutnya, pemberian tersebut adalah untuk menjamin supaya golongan berpendapatan rendah tidak rasa tertekan akibat kenaikan harga barang.

"Sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan kutipan hasil cukai negara memberangsangkan, kerajaan akan memberi bantuan melalui BRIM2.0, BRIM3.0, BRIM4.0, BRIM5.0 dan seterusnya," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan kepimpinan parti BN negeri.

Selain menaikkan jumlah pemberian, katanya, kerajaan juga akan mempertimbangkan pemberian BR1M ini diteruskan untuk jangka panjang mengikut kemampuan pendapatan negara. – Sinar Harian

KD: Sewajarnya had pendapatan penerima BR1M dinaikkan berdasarkan tempat tinggal, terutamanya di bandar besar serta di pedalaman Sabah & Sarawak. Ini kerana ada juga tinggal di bandar tetapi miskin.. miskin bandar.. maklumlah, kos hidup di bandar agak tinggi berbanding tempat lain..