Wednesday, April 17, 2013

PRU13: CALON-CALON BN MAMPU SAINGI PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR - Calon-calon Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada gabungan muka baharu dan lama diyakini dapat menandingi serta menyaingi calon-calon daripada parti pembangkang, kata penganalisis politik.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil masa yang panjang untuk meneliti senarai calon-calon yang layak.

Malah, pada kali ini, Perdana Menteri telah mengambil sikap berhati-hati dan teliti dalam membuat keputusan terhadap calon-calonnya.

"Saya dapati Najib tidak mahu ambil mudah dalam meletakkan calon-calonnya dalam PRU-13.

"Tidak kira lelaki atau wanita, muda atau tua, calon-calon yang dipilih adalah yang sesuai dan terbaik untuk membawa kemenangan kepada BN," katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Mustafa diminta mengulas senarai calon BN yang akan bertanding pada PRU-13 seperti yang diumumkan di seluruh negara semalam.

Mengambil contoh Datuk Yap Pian Hon yang dipilih semula untuk bertanding di Parlimen Serdang, Mohamed Mustafa berkata, calon itu merupakan satu nama besar yang diberi ruang dan peluang kedua oleh BN pada kali ini.

Jelasnya, Pian Hon merupakan wakil rakyat yang sangat dekat dan popular di mata rakyat di Serdang.

"Begitu juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan juga Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang akan bertanding di Parlimen Jempol, merupakan satu nama besar dan popular di kalangan penduduk yang dipertaruhkan oleh BN di kawasan itu," ujarnya. - Utusan Online

No comments:

Post a Comment