Wednesday, April 17, 2013

PRU13: TIADA SEBAB TUKAR KERAJAAN BN - TPM

JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak ada sebab untuk rakyat menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 hanya kerana pembangkang menyatakan Barisan Nasional (BN) sudah terlalu 'tua' memerintah negara ini.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, bukan soal terlalu lama memerintah tetapi penilaian harus dibuat terhadap kemampuan dan pengalaman BN dalam mentadbir negara ini sejak merdeka dengan pencapaian dan rekod yang baik.

''Apa sebab kita mahu tukar kerajaan, tidak ada sebab untuk menukar kerajaan hanya kerana telah 56 tahun memerintah.

''Ini bukan soal lama memerintah tetapi yang berpengetahuan dan mampu melaksanakan tuntutan rakyat untuk menjadi negara maju," katanya semasa merasmikan majlis Himpunan Komuniti Usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Negeri Johor 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat supaya tidak sekadar membaca manifesto BN tetapi harus yakin dan percaya segala yang dijanjikan akan ditunaikan berbanding manifesto pembangkang yang tidak tentu hala.

Muhyiddin berkata, pembangkang kini berusaha menyebarkan bidaah dan fitnah kononnya kerajaan BN akan bankrap kerana memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurutnya, janji pembangkang seperti mahu memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memang menarik perhatian, tetapi rakyat tidak sedar janji itu sebenarnya cuma mahu mengelirukan mereka. - Utusan Online

No comments:

Post a Comment