Wednesday, April 17, 2013

PRU13: DAP BERPURA-PURA MEWAKILI SEMUA KAUM

KUALA LUMPUR - Tindakan DAP hanya meletakkan calon di kawasan yang pengundinya majoriti Cina membuktikan parti itu hanya berpura-pura mewakili pelbagai kaum di negara ini.

Bendahari Agung MCA, Datuk Seri Tan Chai Ho berkata, pakatan pembangkang secara keseluruhannya lebih gemar menghantar 'calon payung terjun' untuk menentang MCA seperti di kerusi Parlimen Ayer Hitam dan Kluang di Johor.

"Pemimpin keturunan Cina dalam pakatan pembangkang tidak berani menentang UMNO walaupun mereka asyik mengkritik parti itu.

"Saya mencabar DAP untuk meletakkan calon di kawasan UMNO. Ini merupakan cara terbaik untuk DAP membuktikan mereka tidak memecah-belahkan pengundi Cina," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengundi mesti menilai sumbangan dan rekod perkhidmatan seseorang calon sebelum memilih mereka sebagai pemimpin.

"Apabila Pas meletakkan Hu Pang Chow (Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas) di Ayer Hitam, pengundi pasti mempersoalkan apa sumbangan calon tersebut di Ayer Hitam selama ini.

"Apakah tujuan Pas meletakkan Pang Chow di Ayer Hitam dan adakah ia merupakan cara untuk memecah-belahkan pengundi Cina di situ?," soalnya. - Utusan Online

No comments:

Post a Comment