Wednesday, April 17, 2013

PRU13: SEMUA CALON BN PERLU SENTIASA MERENDAH DIRI

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua calon Barisan Nasional (BN) supaya sentiasa merendah diri apabila bertemu dengan pengundi dan bukannya bersikap menunjuk-nunjuk kekayaan yang ada.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sikap menunjuk-nunjuk yang dimaksudkan umpamanya bertemu pengundi dengan menaiki kereta mewah seperti Mercedes- Benz, Porsche atau Lamborghini yang jika itu berlaku, calon berkenaan langsung tidak mencerminkan sifat sebagai calon BN sebenar.

Beliau berkata, calon-calon harus sedar bahawa dalam saat kritikal ini segala perilaku, perwatakan, gerak-geri dan percakapan mereka sentiasa dinilai dan diteliti oleh pengundi.

"Saya minta apabila turun menemui pengundi merendah dirilah. Cakaplah dalam bahasa yang baik, bawalah rupa yang lebih manis. Dengar betul-betul apa yang pengundi ucapkan kepada kita.

"Jangan paling muka ke tempat lain. Bila bersalaman dengan pengundi lihatlah mata mereka. Genggam tangan mereka erat-erat. Jangan pandang ke tempat lain," katanya.

Tambah Muhyiddin, pengundi adalah raja dan calon-calon perlu menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya adalah hamba rakyat.

Beliau berkata, kuasa pengundi adalah besar dan di tangan mereka akan menentukan siapa calon yang menang dan parti mana yang berjaya.

"Saya minta sekali lagi kepada semua calon jangan menunjuk-nunjuk. Waktu ini semuanya sensitif. Bila kita keluarkan satu perkataan pun dinilai. Satu langkah kita pun diteliti. Satu perbuatan kita dikaji. Setiap apa yang hendak kita lakukan hendaklah dibuat secara berhati-hati.

"Dalam situasi sebegini pengundi cukup sensitif dan mereka menilai tentang apa yang kita lakukan. Saya beri nasihat tadi ikhlas supaya kita semua lebih peka," katanya.

Jelas Muhyiddin, beliau sendiri pernah menerima nasihat yang serupa ketika mula-mula menceburi bidang politik.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri berkata, setelah segala usaha dibuat, semua calon mesti bertawakal kepada Allah kerana pada akhirnya penentuan akan dibuat oleh Yang Maha Esa.

"Oleh itu pada hari-hari yang mendatang ini bagi yang terpilih dalam kalangan orang Islam bertawakallah. Dalam kitab suci al-Quran ada disebut apabila kita sudah berazam dan bertekad serta berusaha, selepas itu kita bertawakal kepada Allah.

"Kepada calon bukan Islam, bertawakallah mengikut kepercayaan agama masing-masing. Yang menentukan segala-galanya bukan kita, yang menentukan ialah Allah," katanya. - Utusan Online

No comments:

Post a Comment