Wednesday, July 17, 2013

HARGA AYAM MASIH TINGGI
 
KUANTAN - Walaupun harga ayam di negeri tertentu dilaporkan mulai turun, namun tinjauan Utusan Malaysia di premis perniagaan sekitar daerah ini mendapati harganya kekal tinggi seperti awal Ramadan lalu.

Tinjauan ke Pasar Peramu di sini, mendapati, ayam dijual dengan harga sama seperti minggu lalu iaitu RM8.80 sekilogram manakala di Pasar Besar Kuantan RM8.60 sekilogram.

Walau bagaimanapun, tinjauan ke beberapa pasar raya sekitar bandar ini mendapati ayam dijual lebih murah iaitu antara RM7.50 hingga RM7.89 sekilogram.

Peniaga di Pasar Besar, Mustari Ali berkata, ayam seharusnya dijadikan barang kawalan bagi mengekang kenaikan harganya terutama sepanjang Ramadan.

"Apabila adanya kawalan seperti ini, kami juga gembira kerana tidak memerlukan modal besar membeli ayam untuk dijual dan harganya boleh diletakkan rendah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) peka dengan masalah tersebut pada masa akan datang.

Sementara itu, peniaga ayam, Norizan Salleh berkata, pengguna kini semakin bijak kerana akan bertanya harga ayam terlebih dahulu sebelum membeli.

"Jika sebelum ini ketika harga ayam murah, pengguna terus timbang tanpa tanya harga," katanya.

Katanya, sehingga kini pembekal tidak menurunkan harga ayam menyebabkan mereka terpaksa menjual dengan harga tinggi.

Dalam pada itu, pengguna, W. Hasni Bahiyah W. Hussain berkata, kenaikan itu tidak wajar kerana membebankan isi rumah berpendapatan sederhana sepertinya yang terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan bahan makanan berkenaan.

"Sebelum ini beberapa peniaga mendakwa harga ayam akan turun dalam tempoh seminggu selepas awal Ramadan tetapi sehingga kini harga ayam tetap sama," katanya. – Utusan Online

No comments:

Post a Comment