Wednesday, July 17, 2013

KEMELUT HARGA AYAM: MALAYSIA TAK PERLU AYAM CHINA
 
ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berpendirian kerajaan tidak seharusnya mengimport ayam dari luar khususnya dari China berikutan negara mempunyai bekalan mencukupi.

Presidennya, Datuk Yusoff Ismail berkata, pihaknya tidak menyokong cadangan untuk mengimport semula ayam dari China bagi menangani kenaikan harga ayam secara mendadak kebelakangan ini.

“Kita sudah mempunyai bekalan ayam mencukupi, jadi tidak perlulah kita mengalirkan mata wang keluar negara semata-mata ingin menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam ini.

“Sebaliknya, isu kenaikan harga ayam perlu dikawal dan ditangani dari dalam, yakni kerajaan mengadakan rundingan dengan penternak mengenai harga paling bersesuaian kepada semua pihak,” katanya.

Menurutnya, jika perlu pihak berkenaan seharusnya memberi subsidi kepada penternak ayam ini demi membolehkan mereka meletakkan harga rendah kepada peruncit agar mereka tidak saling menyalahkan.

Lagipun katanya, status halal ayam yang diimport meragukan kerana tidak diketahui kaedah penyembelihan negara berkenaan.

Malahan katanya, cadangan memboikot ayam daripada pihak tertentu dipercayai kurang berkesan berikutan kebanyakan pengguna tetap ingin menikmati juadah berasaskan ayam ini.

“Kita nak salahkan pihak mana pun tidak boleh, sebab masing-masing ada alasan tersendiri menaikkan harga. Jadi, kerajaan yang mempunyai bidang kuasa seharusnya mencari penyelesaian agar mana-mana pihak pun tidak terbeban,” katanya. – Sinar Harian



No comments:

Post a Comment