Wednesday, July 17, 2013

KPDNKK PERLU BERTINDAK TEGAS ATASI MASALAH KENAIKAN HARGA AYAM

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu bertindak tegas bagi menangani masalah kenaikan harga ayam yang semakin tidak terkawal sekarang.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, KPDNKK perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang menaikkan harga barang kawalan sewenang-wenangnya melalui akta-akta yang telah digubal di bawah kementerian tersebut.

"Terdapat lebih 57 akta sedia ada untuk melindungi pengguna termasuklah Akta Antipencatutan yang boleh menghalang harga dinaikkan sesuka hati oleh pemborong dan peruncit.

"Namun semua ini tidak ada gunanya andai tidak ada sebarang tindakan proaktif diambil berdasarkan peruntukan akta-akta tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas berkenaan sikap penternak, pemborong, peniaga dan orang tengah yang tidak mempunyai alasan kukuh menaikkan harga ayam walaupun bekalan mencukupi untuk keperluan pengguna.

Menurut beliau lagi, kementerian tersebut juga tidak seharusnya menunggu lama untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga ayam bagi menjaga kepentingan pengguna serta barangan kawalan lain.

"Sampai bila kementerian mahu bertolak ansur dan terus membiarkan 'mafia pemasaran' ini bermaharajalela menekan pengguna setiap kali musim perayaan tanpa sebarang pengawasan.
 
"Jika tiada tindakan tegas diambil, tidak mustahil bekalan makanan lain seperti daging lembu, ikan dan sayur-sayuran akan turut mengalami masalah yang sama," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah mendakwa, pembekal dan pemborong ayam merupakan mereka yang bertanggungjawab memanipulasi harga ayam di pasaran.

"Mengikut kajian yang telah pihak kami lakukan, masalah ini berpunca daripada tindakan pemborong dan pembekal yang ingin mengaut keuntungan berganda pada musim perayaan hingga menyebabkan peniaga-peniaga kecil dan pengguna terpaksa menerima tempiasnya,'' ujarnya. – Utusan Online

No comments:

Post a Comment