Wednesday, July 17, 2013

HARGA SILING AYAM DIUMUM 1 OGOS

ALOR SETAR - Orang ramai tidak perlu panik dengan situasi sekarang, di mana harga ayam melambung tinggi sehingga mencecah RM9.00 sekilogram, berikutan harga siling bagi ayam belum ditetapkan.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan (PPDNKK) Kedah, Mohd Sakri Salleh berkata, harga siling bagi ayam akan diumumkan pada pelancaran skim tawaran harga pada 1 Ogos ini.

“Buat masa ini, harga ayam ditentukan oleh pembekal dan peniaga, selepas tarikh itu, mereka tidak lagi boleh meletak harga melebihi harga siling. Peniaga tidak patuh dikenakan tindakan,” katanya.

Menurutnya, sebelum tarikh itu, harga ayam dijual berdasarkan kepada harga pasaran dan peniaga bebas meletakkan harga bersesuaian mengikut permintaan dan penawaran ayam.

“Pengguna jangan keliru, harga siling untuk ayam hanya dibuat ketika musim perayaan. Ia berbeza dengan harga siling barangan kawalan seperti minyak masak, tepung dan gula,” katanya.

Mohd Sakri berkata, penguatkuasaan tetap berjalan namun fokus diberi kepada tanda harga dan harga mengelirukan di semua pasar seluruh Kedah.

“Sejak 6 Julai lalu, sembilan peniaga barangan basah dikenakan kompaun kerana gagal pamer tanda harga dan meletakkan tanda harga mengelirukan,” katanya.

Mohd Sakri berkata, pihaknya turut pantau tanda harga di setiap bazar Ramadan di negeri ini dan nasihat awal diberikan sebelum mengenakan kompaun.– Sinar Harian

No comments:

Post a Comment