Tuesday, December 25, 2012

'AMANAT HADI' ?

Seorang Ulama seharusnya bersikap tawaduk dan rendah diri tetapi berani mempertahankan perkara yang benar dan hak.

Apabila dikritik atau dipersoal tindakannya, seorang Ulama tidak akan melatah atau marah, sebaliknya akan memperjelaskan keadaan sebenar dengan tenang dan yakin atas kebenaran yang diperkatakannya.

Namun, sifat-sifat wajib seorang Ulama ini tidak terdapat dalam diri ulama-ulama PAS.

Mursyidul Am PAS sendiri, iaitu yang dianggap penyokongnya sebagai ulama tahap tertinggi di dalam parti itu, dan di dalam negara atau mungkin juga dunia, cukup terkenal dengan sifat yang bertentangan dari sifat-sifat di atas.

Nik Aziz amat terkenal dengan takbur, riak dan sering marah siap dengan memaki hamun dan mencerca sesiapa yang mengkritik atau mempersoalkan tindakannya.

Begitu juga dengan Presiden PAS, iaitu Dato’ Seri Hadi Awang yang juga berkongsi sifat yang sama. Lebih buruk lagi, Hadi Awang juga nampaknya seorang yang pengecut apabila tidak berani tampil memberi respon terhadap isu Amanat Kafir yang difatwakannya sendiri hampir 3 dekad lalu.

Walaupun sudah berhari-hari isu ini ‘dipanaskan’ semula oleh media-media perdana, tetapi Hadi Awang masih membisu hatta langsung hilang dari ‘radar’.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah pun membuat teguran rasmi melalui surat terhadap Hadi Awang.

Surat tersebut dikeluarkan setelah bermesyuarat bersama beberapa tok guru pondok serta Mufti dan Timbalan Mufti Kelantan. Mesyuarat tersebut menggariskan 8 perkara yang membuktikan bahawa fatwa Hadi Awang itu telah membawa kepada kepercayaan sesat di kalangan masyarakat, antaranya:

8 perkara dalam amanat Hadi

        percaya bahawa tidak sah solat yang diimamkan orang UMNO,
        percaya bahawa haram makan sembelihan orang UMNO,
        percaya bahawa tidak sah pernikahan yang dijalankan oleh kadhi atau imam yang dilantik UMNO dan pasangan yang 
        terlibat perlu dinikahkan kembali dengan segera
        percaya bahawa terfasakh pernikahan dengan pasangan yang menyokong UMNO
        percaya bahawa jenazah orang UMNO tidak perlu disembahyangkan sepertimana orang kafir atau murtad
        percaya bahawa tidak boleh membenarkan orang UMNO melakukan sembahyang jenazah ke atas orang PAS/Islam.
        percaya bahawa tidak boleh mengebumikan orang UMNO di tanah perkuburan Islam
        percaya bahawa ibadah orang UMNO tidak diterima Allah SWT.

Pihak PAS berusaha menolak dan menutup isu ini dengan alasan ia telah basi, namun soal syahadah dan akidah, soal hubungan suci suami isteri, hubungan darah daging, soal kesinambungan hidup serta kehilangan nyawa, serta soal murni perpaduan ummah dan masyarakat setempat, tidak mungkin basi kerana ia bukan sahaja membabitkan dunia, tetapi merupakan soal rohaniah yang bakal dibangkitkan di akhirat kelak.

Jika Hadi Awang ingin terus berdegil menafikan yang Amanat beliaulah yang menjadi punca segala kesesatan tersebut, maka beliau wajar tampil menjelaskan siapakah yang sebenarnya yang perlu dipersalahkan dalam perpisahan pasangan suami isteri akibat percaya yang pasangannya kafir? Siapa yang perlu dipersalahkan apabila hati ibu atau bapa hancur, dan akhirnya meninggal dunia dalam keadaan anak-anak sendiri menuduh mereka kafir?

Dan siapa yang perlu dipersalahkan apabila anak-anak yatim Memali kehilangan bapa kerana bapa mereka percaya yang mereka berjihad menentang orang-orang kafir?!

Apakah Hadi Awang ingin berkata bahawa penyokong-penyokong PAS sendiri yang bersalah kerana terlalu bodoh sehingga ‘tersalah tafsir’ amanatnya? Jika ya, beliau tetap bertanggungjawab untuk tampil menjelaskan apakah tafsiran yang sebenarnya.

Justeru, penyokong-penyokong PAS wajib menyeru Hadi Awang agar keluar dari persembunyian dan berhadapan dengan amanatnya sendiri sebagai anak jantan kalaupun tidak sebagai seorang ulama.

Penyokong-penyokong PAS perlukan satu kepastian sama ada untuk terus berpegang kepada amanat tersebut dan bahawa 8 perkara di atas adalah wajar, tepat dan benar – ataupun tidak.

Adalah tidak wajar bagi Hadi Awang untuk terus membisu membiarkan penyokong-penyokong tegarnya yang terlibat, termangu-mangu bertanya kafir atau tidaknya ibu mereka yang telah meninggal dunia atau isteri mereka yang telah diceraikan sebegitu lama?

Atau apakah tuduhan kafir itu telah berbalik kepada diri mereka sendiri, sepertimana pesan Rasulullah SAW: “Barang siapa berkata kepada saudaranya, Hai kafir! maka kalimat itu pulang kepada salah seorang dari keduanya,jika kekafiran itu benar ada,jika tidak,maka kekafiran itu berbalik kepada diri yg mengucapkannya.” – Perak Today

Friday, December 21, 2012

'PENYEBAR MAKLUMAT PALSU RUSUHAN SENGAJA BERMAIN API'

Sintok: Penyebar maklumat palsu berhubung rusuhan kaum yang kononnya berlaku di Kuala Muda dekat sini, disifatkan sengaja bermain dengan api.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata demikian selepas mengambil kira tindakan itu yang bukan saja boleh menimbulkan kekecohan, tetapi berpotensi meretakkan perpaduan yang menjadi asas pembangunan negara.
“Ini perbuatan yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sentuh perkauman kerana ia boleh sebabkan bukan saja rakyat panik dan takut, malah negara juga turut terancam.

“Sepatutnya pihak itu lebih bertanggungjawab. Jika hanya insiden kecil, jangan sekali-kali sebar ada pertembungan antara kaum sehingga KPN (Ketua Polis Negara) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu keluar kenyataan menafikannya,” katanya.

36 individu ditahan

Beberapa hari lalu ada pihak menyebarkan berita melalui blog serta laman sosial termasuk Facebook kononnya berlaku rusuhan kaum di Kuala Muda sehingga menyebabkan kematian dan pengisytiharan darurat.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, mengesahkan sehingga kini 36 individu berusia 18 dan 30 tahun ditahan termasuk pihak yang bertanggungjawab menyebar berita palsu mengenai insiden itu melalui SMS.

“Semua 36 individu itu ditahan susulan beberapa insiden pergaduhan kecil sejak Ahad lalu, selain mereka yang menyebarkan berita palsu.

“Saya tegaskan maklumat berhubung gambaran berlaku rusuhan kaum tidak benar sama sekali, sebaliknya suasana di daerah berkenaan terkawal dan tenteram.

Malah, kegiatan harian penduduk seperti biasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. -BHarian
PEMIMPIN MELAYU HANYA MAMPU JADI 'PENONTON' DALAM DAP

GEORGE TOWN: Pemimpin Melayu dalam DAP disifat hanya mampu menjadi 'penonton' belakang tabir dan tidak akan mampu memperjuangkan kelangsungan bangsa Melayu dalam parti itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata ini kerana pengaruh pemimpin yang dilantik di atas kertas tidak setanding dengan pemimpin yang dipilih berdasarkan undi majoriti.

"Pemimpin Melayu dalam DAP tidak akan beri kesan apa-apa dalam pentadbiran kerana bilangan mereka terlalu kecil dan tidak dapat sokongan penuh oleh ahli sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BRiSK) Pulau Pinang di sini, Khamis.

Muhamad Farid berpendapat pelantikan dua wakil Melayu oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) iaitu Senator Ariffin S.M Omar dan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari sekadar memenuhi kuota bagi menujukkan DAP sebagai parti berbilang kaum.

Beliau menyarankan pemimpin Melayu berkenaan menilai sedalam-dalamnya perkara ini kerana majoriti anggota peringkat akar umbi yang tidak memilih pemimpin Melayu jelas menunjukkan mereka tidak menginginkan kaum lain menerajui parti itu.

Pada pemilihan CEC baru-baru ini, kesemua lapan calon Melayu termasuk pejuang DAP Melayu Ahmad Ton kalah teruk dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudiannya mengumumkan pelantikan Ariffin dan Zairil dalam CEC.

Penubuhan BRiSK bertujuan mendidik pelajar supaya prihatin dengan isu masyarakat dan menyemai sikap bekerja secara sukarela dalam diri golongan itu.

Majlis berkenaan dihadiri seramai 100 pelajar dari enam kolej komuniti sekitar Pulau Pinang. – BERNAMA/mStar

Thursday, December 20, 2012

MAKLUMAT PALSU RUSUHAN KAUM DI KEDAH
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan maklumat palsu yang tersebar berhubung rusuhan kaum kononnya kini berlaku di Kuala Muda, Kedah.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu itu yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mengundang bahaya kepada keamanan negara. 

 “Saya harap masyarakat jangan mudah percaya dengan berita yang kini banyak tersebar di laman sosial Facebook, Twitter, blog-blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) itu.

“Kita harap pihak yang menyebarkan berita-berita palsu itu berhenti berbuat demikian dan sekiranya perkara ini berlarutan, kita akan siasat dan cari dalang di sebalik perbuatan itu,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Kelmarin, beberapa blog dan laman sosial termasuk SMS giat menyebarkan berita mengenai rusuhan kaum yang didakwa berlaku di Kuala Muda sehingga mengakibatkan kematian. Malah, beberapa tindakan ekstrem turut didakwa berlaku di daerah itu, sehingga menimbulkan kekecohan kepada semua.

Selain itu, maklumat palsu itu juga mendakwa perintah darurat turut dikeluarkan PDRM bagi penduduk di kawasan itu untuk faktor keselamatan mereka. 

Beliau berkata segala kenyataan dan gambar yang dimuat naik berhubung ‘insiden’ pergaduhan itu ternyata tidak benar dan orang ramai sewajarnya merujuk perkara itu pada polis terlebih dulu sebelum mempercayainya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata arahan sudah dikeluarkan kepada polis Kedah untuk memantau semua rangkaian sosial terutama Facebook, Twitter dan sebagainya bagi mengekang penyebaran maklumat palsu itu. -BHarian



KD: Orang awam jangan panik, apatah lagi bertindak di luar batasan.. biar pihak polis yang mgendalikan insiden ini.. 

MELAYU PUNCA RASUAH: CUEPACS MAHU DAP HENTI TUDUH KAKITANGAN AWAM

KUALA LUMPUR: CUEPACS memberi amaran kepada DAP supaya berhenti membuat sebarang tuduhan ke atas penjawat awam sambil menegaskan bahawa kakitangan kerajaan tidak seharusnya dijadikan mangsa politik pembangkang.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya amat kecewa dengan dakwaan Naib Pengerusi DAP, Senator Dr Ariffin SM Omar yang mendakwa rasuah berpunca daripada monopoli kaum Melayu dalam perkhidmatan awam.

Penjawat awam jadi sasaran

“CUEPACS hairan mengapa pembangkang sering menjadikan penjawat awam sebagai sasaran mereka. Tahun lalu mereka (pembangkang) kata mahu mengurangkan bilangan penjawat awam jika berjaya mengambil alih kerajaan Pusat.

“Sekarang ini pula dakwa rasuah berpunca daripada monopoli kaum Melayu dalam perkhidmatan awam, ini satu tuduhan serius kerana dakwaan itu bukan saja tidak benar malah menghina penjawat awam khususnya orang Melayu yang berkhidmat dalam kerajaan,” katanya kepada BH, semalam. -BHarian
RASUAH BERPUNCA DARIPADA MONOPOLI KAUM MELAYU ?

KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP baru dilantik, Senator Dr Ariffin SM Omar menghina bangsanya sendiri dan penjawat awam kerana mendakwa rasuah berpunca daripada monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam.

Ini kerana rasuah tidak boleh dikaitkan dengan aspek bangsa, sebaliknya ia berkait rapat dengan iman, moral dan jati diri seseorang sama ada beragama Islam atau sebaliknya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, dakwaan Ariffin bukan setakat mencerminkan kecetekan fikirannya, malah menghina Melayu yang juga bangsanya sendiri sedangkan beliau sendiri tahu tiada kajian membuktikan dakwaan seumpama itu.

“Dakwaan itu menyakitkan hati penjawat awam, khususnya orang Melayu. Ironinya, dia sendiri diperlekeh dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP apabila perwakilan yang majoritinya Cina menolak beliau.

Pelantikan hanya sandiwara

“Pelantikan beliau sebagai Naib Pengerusi DAP hanyalah sandiwara pemimpin DAP untuk menunjukkan kononnya parti itu mempraktikkan kepelbagaian bangsa,” katanya kepada BH, di sini semalam.

Pada Kongres DAP di Pulau Pinang minggu lalu, Ariffin dilaporkan mencadangkan rombakan besar-besaran dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perkhidmatan awam lain jika pembangkang menawan Putrajaya bagi memastikan agensi kerajaan tidak didominasi kaum Melayu dengan alasan untuk mengekang rasuah.

Ariffin menyertai DAP pada 2011 kononnya atas keyakinan parti itu mempraktikkan konsep kepelbagaian bangsa dan menolak perkauman.

Ahli MT UMNO, Datuk Idris Haron berkata, dakwaan Ariffin bukan setakat tidak berasas malah boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini kerana mungkin bangsa lain memandang serong kepada penjawat awam Melayu.

“Rasuah adalah penyakit yang tiada kaitan dengan kaum tertentu. Ariffin seharusnya berfikir secara menyeluruh bahawa kaedah menangani rasuah adalah dengan menyediakan program meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah, sistem kerja telus dan penguatkuasaan undang-undang secara berkesan.

“Ariffin cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin DAP daripada Melayu semata-mata untuk menambat hati pemimpin DAP supaya dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak,” katanya.

Sehubungan itu, Idris merayu masyarakat Melayu, terutama pengundi supaya membuat penilaian secara bijak, fungsi orang Melayu dalam DAP tidak lebih daripada sekadar kuda tunggangan pemimpin parti itu untuk meraih sokongan Melayu. -BHarian


KD: Kerana pulut pandan binasa, kerana mulut badan binasa..
UNIT RONDAAN BERMOTOSIKAL AKAN DIPERLUAS

Serdang: Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis akan diperluaskan jika operasi itu berkesan mengurangkan jenayah serta bagi memenuhi tuntutan rakyat yang mahu menikmati kesejahteraan hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kajian keberkesanannya dinilai semula dalam enam bulan selepas pelancarannya semalam.
Katanya, jika ‘buddy system’, iaitu dua anggota menunggang motosikal pada setiap masa didapati berkesan dan amat berfaedah, kerajaan sanggup menambah bilangan anggotanya.

Beliau berkata, URB yang diumumkan dalam Bajet 2013 sepatutnya dilaksanakan pada bulan depan tetapi dipercepatkan pada bulan ini kerana kerajaan sangat serius dan komited memerangi jenayah.

Komited perangi jenayah

“Tak payah tunggu Bajet 2014... Bajet 2013 kita boleh tambah lagi untuk tunjuk yang kita komited dan serius memerangi jenayah,” katanya ketika melancarkan URB di Bandar Kinrara, Puchong di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Ketika membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk membeli 1,000 motosikal menerusi URB untuk mengurangkan jenayah khususnya pemantauan kawasan perumahan.

Najib berkata, URB akan melakukan rondaan 24 jam di kawasan perumahan dalam tiga syif, iaitu empat jam setiap syif serta kawasan sibuk seperti kawasan perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.

Bermula di 4 negeri

Katanya, pada peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki Ninja 250 dilengkapi sistem lampu dan siren disediakan untuk program di empat negeri, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, jika ada rondaan terutama pada waktu malam, kadar jenayah dapat dikurangkan kerana peluang melakukan jenayah akan tertutup.

“Jika mereka melihat ada peluang penjenayah akan melakukan jenayah seperti pecah rumah dan curi kereta atau motosikal kerana mereka dapat melarikan diri dan tak dapat diberkas polis. Di sinilah keberkesanan URB untuk membanterasnya,” katanya.