Tuesday, February 5, 2013


BADAN ANTARA AGAMA JANGAN PERTIKAIKAN MAIS - HASAN ALI

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) dinasihatkan tidak mencampuri urusan politik yang tidak sihat dan tidak seharusnya mempertikaikan tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negara ini, kata Datuk Dr Hasan Ali.

Presiden Jalur Tiga (Jati) dalam kenyataannya hari ini berkata, majlis perundingan agama bukan Islam itu seharusnya mengambil sikap yang lebih positif supaya mencari jalan sebaik-baiknya seperti menasihati beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Mereka perlu mengambil sikap yang lebih positif dan menasihati pemimpin politik PR supaya mereka bermuhasabah dan mengkaji apakah tindakan mereka untuk meraih keuntungan politik jangka pendek dapat menjamin hubungan antara bangsa dan agama yang terus damai pada jangka panjangnya,” kata Adun Gombak Setia itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Sepatutnya Majlis  MCCBCHST yang dianggotai oleh mereka yang berwibawa dan arif dengan persikataran sosio budaya negara ini sepatutnya tidak mengambil langkah menyiram minyak kepada api yang sudah mula marak,” tambah Hasan (gambar fail) lagi.

MCCBCHST semalam menyelar MAIS dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim kerana cuba untuk mengawal hak kumpulan minoriti agama di Malaysia dalam perbalahan isu “Allah”, di mana mereka mengatakan ia bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara

“Ini adalah sama seperti pengenaan sekatan oleh Majlis lslam terhadap orang bukan Islam,” kata mereka dalam satu kenyataan. “Ia juga boleh dilihat sebagai usaha untuk mengawal amalan agama-agama selain Islam oleh sebuah badan atau organisasi lslam.”

Majlis tersebut turut memberi amaran terhadap “amalan tidak sihat” berkenaan yang didakwa memaksa orang bukan Islam terikat dengan fatwa atau keputusan daripada badan-badan Islam seperti MAIS, sambil berkata ia boleh mencetuskan ketegangan agama.

“Sebarang cubaan untuk mengawal orang bukan Islam atau mengganggu amalan agama bukan Islam oleh mana-mana badan Islam mesti dihentikan serta merta,” katanya.

“Ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini amalan yang tidak sihat dan boleh membawa kepada kesan sosial yang tidak diingini dan meningkatkan ketegangan antara masyarakat.”

Jelas Hasan, daripada apa yang dikemukakan oleh MCCBCHST itu adalah mereka mengemukakan fakta yang tidak bersendikan kepada kefahaman yang jelas mengenai perundangan yang ada dan terdapat unsur-unsur melindungkan beberapa fakta seperti wujudnya Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang secara jelas menyenaraikan perkataan-perkataan termasuk kalimah Allah yang tidak boleh digunakan oleh mereka yang bukan beragama Islam.

“Perlu disebutkan MCCBCHST gagal mengambil kira bahawa sejak dari dulu belum pernah timbul sebarang permohonan untuk menggunakan kalimah Allah oleh mana-mana penganut agama termasuk agama Kristian,” tegas bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu lagi.

“Rakyat Malaysia telah hidup dalam suasana aman damai di dalam kerangka saling menghormati penganut dan amalan agama antara satu dengan lain buat sekian lamanya.

“Hanya akhir-akhir ini menjelang PRU ke 13, isu kalimah Allah ditimbulkan yang sehingga ke hari ini tidak pernah diterangkan motif sebenar disebalik permohonan itu.”

Kenyataan MCCBCHST itu telah ditandatangani oleh Tan Hoe Chieow yang juga presiden MCCBCHST dan ketua Taoisme di sini; timbalan presiden Majlis Gurdwara Malaysia Jagir Singh; dan Sing Kan dan Prematilaka KD Serisena untuk agama Buddha dan Rev Thomas Philips untuk agama Kristian; Datuk RS Mohan Shan bagi Hindu.

Kumpulan antara agama bukan Islam itu semalam turut berkata tiada undang-undang, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, untuk mengenakan hukum atau fatwa ke atas bukan Islam.

Mereka menegaskan undang-undang itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam telah diletakkan di dalam Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, yang menghadkan mereka daripada menyebarkandoktrin atau kepercayaan agama mereka kepada orang Islam.

MCCBCHST turut berkata tiada bukan Islam mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Malahan, mereka turut menggesa umat Islam yang tidak bersetuju dengan orang bukan Islam yang mempunyai hak untuk memanggil tuhan mereka “Allah” untuk membaca perlembagaan dengan berhati-hati dan holistik, menunjukkan kepada Artikel 3(4) dan 11(4).

Merujuk kepada Ahmad Fairuz, kumpulan itu berkata ia gagal untuk memahami “bagaimana bekas Ketua Hakim Negara boleh terlepas pandang hakikat bahawa semua enakmen 10 negeri-negeri yang dibuat di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, dan bahawa Perkara 11 (4) hanya menyediakan kawalan ‘atau penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama kepada orang yang menganut agama lslam”.

Justeru, Hasan mengingatkan MCCBCHST seharusnya sudah menyaksikan kesan yang mungkin timbul sekiranya permintaan sedemikian ditunaikan.

“Kemarahan umat Islam mungkin tidak dapat dibendung lagi. Puluhan laporan polis yang dibuat dibeberapa tempat menjadi testimoni kepada gejala buruk ini.

“Apa yang berlaku adalah percubaan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melanggar batas yang ada dengan meminta supaya kalimah Allah yang menjadi hak eksklusif orang Islam juga dapat digunapakai oleh orang bukan Islam,” tegasnya lagi.

“Inilah sebenarnya amalan yang tidak sihat yang boleh mengakibatkan ketegangan antara bangsa dan agama,” tambah Hasan dalam kenyataannya. -Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment