Tuesday, February 5, 2013

PARKIR MERAH JAMBU UNTUK PENGGUNA WANITA KLCC

Kemudahan untuk wanita

KUALA  LUMPUR — Hak asasi kaum hawa di Malaysia semakin dihargai. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini negara menyaksikan banyak kemudahan dibangunkan khusus untuk golongan wanita. Beberapa kemudahan yang tersedia kini termasuk gerabak tren Komuter khas untuk wanita dan lorong pelanggan khusus untuk kaum hawa di beberapa pasar raya.

Terkini ialah tempat parkir yang disediakan hanya untuk wanita di kompleks membeli belah di Kuala Lumpur.

Keselamatan

Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sedar akan masalah yang dihadapi para pemandu wanita. Oleh itu KLCC bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan mengambil langkah menyediakan petak letak kereta khusus untuk kaum wanita di kawasan parkir kompleks itu.

Meskipun KLCC bukan kompleks membeli belah pertama yang menyediakan kawasan parkir khas untuk wanita, usaha itu dilihat cukup murni, memandangkan populariti Suria KLCC selaku lokasi kegemaran wanita pelbagai usia.

Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Berhad, Hashim Wahir, mengakui bukan mudah untuk menjamin keselamatan pengunjung sepenuhnya, tetapi mereka akan tetap berusaha menyediakan kemudahan paling praktikal yang mengambil kira keselamatan wanita.

Petak parkir

"Sebanyak 142 petak parkir wanita ditempatkan di aras P1 berdekatan dengan pintu masuk eskalator dan lif Suria KLCC," katanya semasa mengumumkan Sistem Panduan Letak Kereta KLCC itu.

Hashim berkata zon parkir ini berdekatan dengan laluan masuk melalui terowong bawah tanah Jalan Tun Razak-Jalan Binjai, terowong bawah tanah Jalan P.Ramlee dan laluan masuk Jalan Ampang-Persiaran KLCC bagi memudahkan wanita mencari parkir khas itu.

Kawasan letak kereta wanita itu juga dilengkapi beberapa ‘Help Points’(panduan) dan kamera litar tertutup (CCTV). Zon khas itu diterangi lampu  secukupnya dan kawalan keselamatan 24 jam.

Setiap petak khas itu mempunyai lantai berwarna merah jambu dan logo di setiap tiang berhampiran serta papan tanda di lokasi strategik di aras P1 dan P2 yang menunjukkan hanya wanita yang boleh meletakkan kenderaan di kawasan itu.

Lampu penunjuk

Hashim berharap agar pemandu wanita dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahankhas yang disediakan KLCC itu.

'Ada lampu penunjuk disediakan untuk memberitahu orang ramai sama ada zon  parkir itu penuh atau ada yang belum diisi," katanya sambil menjelaskan bahawa ia turut memaparkan maklumat jumlah petak parkir yang masih kosong di setiap pintu masuk.

"Lampu penunjuk akan berwarna jika petak parkir telah diisi dan petak yang masih kosong akan ditunjukkan dengan warna hijau. Petak OKU yang kosong pula akan ditunjukkan dengan warna biru," jelas Hashim. — Bernama/Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment