Tuesday, February 5, 2013

KARPAL BONGKAK TIDAK TOLAK ANSUR ISU KALIMAH ALLAH – HASSAN ALI

KUALA LUMPUR — Karpal Singh dilabel sebagai bongkak dan degil apabila terus menolak pendirian PAS berhubung penggunaan isu kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negara ini, kata Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hassan Ali.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dalam kenyataannya juga menegaskan PAS pula sering berdolak dalih dan cair diselimuti dengan perbezaan pendapat yang nyata di antara dua golongan khususnya ulama disatu pihak dan parasit.

“Amatlah jelas daripada peristiwa ini bahawa Karpal Singh yang mewakili DAP terus menunjukkan sikap degil dan bongkak dengan tidak bersedia berundur walau seincipun mengenai isu kalimah Allah ini dan juga isu-isu lain yang berkaitan dengan Islam dan Melayu.

“Sementara PAS dilihat sering berdolak dalih, cair dan diselimuti dengan perbezaan pendapat yang nyata diantara dua golongan khususnya ulama disatu pihak dan parasit yang banyak dipengaruhi oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim serta DAP disatu pihak yang lain,” tegas ADUN Gombak Setia itu lagi.

Beliau turut menambah,”bagi DAP isu kalimah Allah sudah mencapai matlamat.”

PAS, jelas Hassan sepatutnya menjadi benteng pertahanan pertama Islam dan Melayu didapati goyah, tidak berprinsip hingga redha menggugurkan asas perjuangan semata-mata untuk berbaik dengan DAP dan PKR dalam usaha merampas Putrajaya.

“Penyokong-penyokong mereka semakin yakin terhadap DAP yang tidak pernah berganjak daripada apa yang diperjuangkan selama ini yang lebih bersifat anti-Islam dan anti-Melayu itu.

“Amat jelas gambaran di hadapan kita apa yang akan berlaku sekiranya Pakatan Rakyat (PR) ditakdirkan berjaya menawan Putrajaya,” tegasnya.

Hassan bagaimanapun berkata, sekiranya PR memerintah, kalimah Allah tanpa syak dan ragu lagi akan dibenarkan penggunaannya seperti yang ditagih selama ini oleh DAP dan penganut Kristian tanpa menghiraukan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan, Enakmen-Enakmen Syariah Negeri, fatwa-fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Negeri serta penentangan dan kemarahan rakyat yang majoritinya beragama Islam.

“PAS akan terus menjadi kuda tunggangan DAP serta PKR dan sekaligus merelakan perjuangan parti selama hampir 60 tahun itu untuk menegakkan Islam dan melaksanakan hudud digugurkan.

“Golongan parasit dalam PAS akan memiliki kuasa penentu untuk menghala tuju landasan perjuangan PAS bukan mengikut apa yang di asaskan oleh kepimpinan terdahulu sebaliknya di sesuaikan mengikut selera PKR dan DAP,” tegasnya lagi.

Malah, beliau yang digugurkan sebagai exco kerajaan negeri Selangor turut menjangkakan disebabkan perubahan yang akan berlaku yang kebanyakkannya yang menyentuh isu-isu yang amat sensitif seperti agama Islam, bangsa Melayu dan kedudukan Raja-Raja maka suasana kedamaian yang dinikmati oleh rakyat Malaysia selama ini akan bertukar menjadi porak peranda yang akhirnya boleh mencetuskan keadaan huru hara.

“Amatlah penting bagi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya mengambil langkah pembaikan yang segera dengan secara rasmi membawa keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 13 Januari 2013 kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat supaya keputusan Majlis Syura tersebut diterima baik oleh pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat tersebut.

“Selagi ini tidak dilakukan selagi itulah isu ini tidak akan menemui jalan penyelesaian.

“Taktik menyalahkan Umno yang sudah menjadi cliché rasanya tidak lagi dapat melindungi kegagalan pimpinan tertinggi PAS dalam persabungan politik dengan dua rakan kongsi DAP dan PKR.

“Sebaliknya alasan basi itu sesungguhnya telah melemaskan PAS sendiri,” tegasnya lagi.

Beliau turut menyindir kepimpinan PAS yang telah bertukar menjadi “pelawak politik”, dan berkata  keadaan itu mungkin timbul disebabkan keingkaran pimpinan tertinggi PAS mengekalkan perjuangan parti itu seterusnya menodai hasrat dan cita-cita parti Islam itu untuk  membawa brand Islam dalam perjuangannya. – Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment