Tuesday, February 5, 2013

GURU PERLU TOLAK FAHAMAN SONGSANG - TPM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua guru pendidikan Islam di seluruh negara aktif menyampaikan ilmu Islam sebenar bagi menolak fahaman songsang yang mengancam akidah selain mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat masa kini.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, 52,000 guru terbabit perlu menyampaikan mesej dakwah yang berteraskan al-Quran dan sunah serta memimpin masyarakat ke arah kebenaran.

Tegas beliau, adalah malang sekiranya umat Islam dibiarkan berpecah-belah hanya kerana ada sebahagian daripada masyarakat itu terpengaruh dengan pelbagai fahaman yang terpesong daripada ajaran agama itu sendiri.

“Tindakan sebegini hanya mencetuskan persengketaan dalam kalangan umat yang akhirnya menjejaskan nikmat keharmonian dan keamanan yang kita kecapi selama ini,” katanya semasa merasmikan Multaqa Nasional Guru Pendidikan Islam yang dihadiri 3,500 peserta dari seluruh negara di sini, semalam.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, umat Islam perlu sentiasa memperkukuhkan perpaduan bagi mempertahankan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat berpegang kepada empat prinsip iaitu penyatuan hati (wahdatul qalb) dan penyatuan pemikiran (wahdatul fikr) dalam kalangan umat dengan berpandukan al-Quran dan sunah.

“Seterusnya marilah kita cetuskan penyatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan penyatuan amal (wahdatul amal) yang akan memelihara kesatuan umat Islam buat selama-lamanya,” katanya.

Beliau berharap dengan berteraskan empat prinsip itu umat Islam bukan saja menangani cabaran pemikiran dan akidah malah muncul umat terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menghargai usaha Bahagian Pendidikan Islam memperkasa guru pendidikan Islam sebagai murabbi, mua’ddib dan mua’llim menerusi Program Bina Upaya Guru Pendidikan Islam.

Program itu, katanya, bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia khususnya dalam mencapai aspirasi murid yang kelima iaitu melahirkan murid yang beretika dan mempunyai kekuatan kerohanian yang tinggi.— HMetro

No comments:

Post a Comment