Tuesday, February 5, 2013

HENTIKAN BERTELINGKAH DALAM ISU KALIMAH ‘ALLAH’ - KP JABATAN PERPADUAN

KUALA LUMPUR — Putrajaya hari ini menggesa rakyat Malaysia berhenti daripada pertelingkahan mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Azman Amin Hassan berkata, perkara itu perlu diselesaikan di mahkamah, merujuk kepada permohonan kerajaan persekutuan di Mahkamah Tinggi pada 2009 yang menetapkan perkataan “Allah” bukanlah hak eksklusif untuk orang Islam.

“Lupakan perkara itu kerana ia menimbulkan banyak kekeliruan,” kata Azman (gambar) kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Kita perlu menungggu keputusan akhir (mahkamah) untuk melegakan situasi,” tambahnya.
Azman, yang juga  Ahli Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) berkata, jawatankuasa itu sedang mengadakan perbincangan, namun enggan mengulas lanjut butiran lngkap perbincangan berkenaan, sebaliknya berkata “kesemua pimpinan agama memahami isu tersebut.”

Kumpulan pengamal agama Buddha telah menggesa JPNIN menyelesaikan perkara itu selepas kumpulan pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) baru-baru ini menggesa Muslim supaya membakar Bible berbahasa Melayu yang menggandungi perkataan Allah di dalamnya.

Pertelingkahan mengenai penggunaan perkataan Allah antara Muslim dan komuniti bukan Muslim di negara ini, terutamanya komuniti Kristian mula timbul pada 2007 apabila gereja Katolik dilarang menggunakannya dalam penerbitan mingguan mereka, The Herald.

Antara kes lain termasuklah penganut Kristian Sarawak, Jill Ireland, mencabar Kementerian Dalam Negeri pada 2008 apabila merampas koleksi peribadi cakera padat keagamaannya yang menggunakan kalimah Allah di lapangan terbang.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Mei, 2009, memberikan kebenaran kepada kumpulan etnik Melanau untuk mencabar Kementrian Dalam Negeri, berkata Jill mempunyai hak untuk “memiliki, menerima, mengguna, mengimport, dan mengedar” sebarang bentuk perkataan menggunakan nama Allah.

Di sebalik pembentukan JKMPKA pada 2011, tidak berlaku pertikaian berhubung isu perkataan Allah, dan Putrajaya telah memberikan kata putus.

Dalam 10 resolusi Pentadbiran Najib, Kabinet melalui kementeriannya Datuk Seri Idris Jala, meyakinkan penduduk pribumi Sabah dan Sarawak yang mempunyai populasi Kristian yang besar bebas menggunakan Bible berbahasa Melayu mereka termasuk bahasa pribumi yang lain.

Idris turut berkata Bible itu juga boleh dicetak dalam mana-mana bahasa termasuk Iban, Kadazan-Dusun dan Lun bawang.

Pada April 2011, satu pekeliling kepada Pengerusi Christian Federation of Malaysia (CFM) Bishop Ng Moon Hing yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan Kristian dan mana-mana kepercayaan boleh menggunakan Bible dalam mana-mana bahasa, termasuk bahasa Melayu.

Pertikaian berhubung perkataan Allah berkemungkinan akan memberikan kesan terhadap pengundi untuk menyokong parti politik dalam pilihan raya yang harus dilaksanakan April ini. – Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment